Rabu, 30 Mei 2018 | 5:14pm

Paramount sasar jualan hartanah RM1 bilion

KUALA LUMPUR: Paramount Corporation Bhd menyasarkan jualan segmen hartanahnya akan mencecah RM1 bilion tahun ini berbanding RM816 juta pada 2017, didorong oleh lapan projek yang sedang dilaksanakannya.

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Kumpulan, Jeffrey Chew Sun Teong, berkata ini termasuk projek utama seperti pembangunan bercampur-campur dikenali Atwater yang terletak di Seksyen 13, Petaling Jaya, Selangor.

"Projek ini terletak di kawasan matang di Seksyen 13 dan dijangka memberi sumbangan besar. Kita juga mempunyai satu lagi projek dikenali Greenwoods di Salak Perdana (Sepang) dengan nilai pembangunan kasarnya RM1.1 bilion," katanya pada sidang media selepas mesyuarat agung luar biasa dan mesyuarat tahunan kumpulan itu di sini, hari ini.

Mengulas selanjutnya, Chew menyifatkan sasaran RM1 bilion itu sebagai agak realistik berdasarkan prestasi kukuh dicatatkan pada enam suku sebelum ini.

Bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2018, keuntungan bersih Paramount meningkat kepada RM13.18 juta berbanding RM11.96 juta pada suku sama tahun lepas manakala perolehan turut bertambah kepada RM162.25 juta daripada RM144.1 juta sebelum ini.

Ditanya mengenai Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berkadar sifar berkuat kuasa bulan depan, beliau berkata ini akan menggalakkan pembeli memiliki hartanah sebelum Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dilaksanakan semula.

Kementerian Kewangan sebelum ini telah menjelaskan bahawa GST kadar 6.0 peratus akan berkadar sifar mulai 1 Jun dan kerajaan akan memperkenalkan semula SST.

"Ini tempoh yang paling sesuai untuk orang ramai membeli hartanah sebelum SST dilaksanakan semula dan kita menjangkakan permintaan lebih baik, khususnya dalam pembangunan komersial.

"Bagi segmen kediaman, kita percaya ada input (kos) yang sifar cukai dari segi GST berikutan pengecualian cukai terbabit. Ini mungkin memberi sedikit penjimatan kos (kira-kira 2.0-4.0 peratus) bagi projek-projek baharu kita dan merendahkan harga hartanah," katanya.

Penjimatan itu, kata Chew, akan membabitkan tempoh mulai 1 Jun ini sehingga tarikh pelaksanaan semula SST.

"Adalah diharapkan (kadar) SST tidak tinggi berbanding kadar semasa GST," katanya.

Chew turut menyifatkan pelaksanaan lapan projek itu akan menjadikan syarikat itu sibuk bagi tempoh lima sehingga tujuh tahun akan datang manakala tanah simpanan miliknya seluas 295.99-hektar akan hanya menambahkan tempoh sekurang-kurangnya dua hingga tiga tahun lagi.

Syarikat itu juga kini aktif meningkatkan jumlah tanah simpanannya dengan pembelian terbaharu di Cyberjaya bernilai RM149.7 juta yang disasarkan bagi pembangunan kediaman mewah.

Sementara itu mengulas segmen pendidikannya, Chew berkata syarikat itu dapat mengurangkan kerugian itu menerusi pengambilalihan Kumpulan Pendidikan REAL pada tahun ini.

-BERNAMA

Berita Harian X