Selasa, 12 Jun 2018 | 4:14pm
DATUK Eu Hong Chew. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Pembayaran secara digital di i-City

SHAH ALAM: I-Bhd, pemaju induk i-City menjalinkan kerjasama dengan Visa Malaysia bagi memperkenalkan inisiatif bandar pintar strategik terbesar membabitkan pendigitalan sistem pembayaran di bandar itu.

Kerjasama itu menyaksikan pendigitalan penyelesaian pembayaran merentasi semua hartanah di i-City termasuk taman tema, tempat letak kereta, pusat beli-belah, hotel dan cawangan runcit.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Eu Hong Chew berkata kerjasama strategik dengan Visa itu akan menambah nilai dan meningkatkan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan kepada komuniti tempatan dan antarabangsa di i-City.

"Kerjasama ini juga adalah selari dengan program pendigitalan strategik syarikat yang penting untuk memupuk komuniti pintar dengan pembangunan i-City iaitu bandar pintar," katanya pada majlis menandatangani perjanjian kerjasama strategik bandar pintar i-City Visa di sini, hari ini.

Beliau berkata, projek pembayaran tanpa tunai bandar pintar i-City Visa itu sudah dimulakan dengan tempat letak kereta dan tiket taman tema di Leisure [email protected]

Menurutnya, kemudahan itu membolehkan pengguna membayar melalui kad dengan menggunakan aplikasi mudah alih 'i-City Mobile' bagi langkah pembayaran lebih mudah, pantas dan terjamin.

"Setiap kemasukan ke tempat kereta sah dan menggunakan Visa payWave akan dikreditkan secara automatik dengan nilai RM30 melalui aplikasi itu manakala pembelian tiket taman tema secara atas talian dan langsung akan membolehkan pelanggan layak menikmati diskaun dan pengumpulan mata program ganjaran," katanya.

Hong Chew berkata, pelaksanaan sistem pembayaran melalui aplikasi itu akan dilakukan secara berperingkat dengan fasa pertama membabitkan taman tema dan tempat letak kereta sudah beroperasi.

"Pembayaran aplikasi mudah alih bagi pusat beli-belah Central i-City, cawangan runcit dan Hotel Best Western i-city disasarkan untuk dilancarkan pada tahun depan.

"Kami optimis dan yakin kerjasama dengan Visa ini akan menawarkan penyelesaian pembayaran lebih baik di mana ia diterjemahkan kepada kepuasan pelanggan dan pengalaman transaksi di lokasi," katanya.

Berita Harian X