Rabu, 24 Oktober 2018 | 4:50pm

Glomac lancar tujuh projek baharu GDV RM780 juta

KUALA LUMPUR: Glomac Bhd melancarkan tujuh projek pembangunan hartanah baharu untuk tahun kewangan 2019 dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM780 juta.

Pelancaran membabitkan hartanah dalam segmen rumah teres, mampu milik, pangsapuri servis dan pejabat kedai itu akan dilancarkan secara berperingkat sepanjang tahun kewangan semasa.

Antara projek yang terbabit adalah kedai pejabat di Lakeside Residences dengan GDV RM60 juta; rumah mampu milik di Saujana KLIA (RM40 juta); Saujana Perdana (RM226 juta); Saujana Utama 5 (RM25 juta); Sri Saujana (RM30 juta); Saujana Jaya (RM49 juta) dan pembangunan bercampur [email protected] Jaya dengan GDV RM355 juta.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri FD Iskandar, berkata majoriti projek berkenaan dijangka dilancarkan bermula separuh kedua tahun kewangan 2019.

Katanya, pelancaran projek baharu pada tahun 2019 adalah lebih tinggi daripada tahun lalu yang berjumlah RM248 juta.

“Syarikat menyasarkan untuk mencapai jualan 75-80 peratus dalam pelancaran baharu ini, sama seperti yang dicapai pada dua hingga tiga tahun sebelum ini.

“Tahun lalu kami berjaya mencapai jualan kira-kira RM214 juta daripada RM248 juta yang dilancarkan,” katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Glomac di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis berkenaan adalah Pengerusi Eksekutif Kumpulan,Tan Sri FD Mansor; Timbalan Pengerusi Eksekutif, Datuk Richard Fong dan Pengarah Berkecuali Bukan Eksekutif, Datuk Ali Abdul Kadir.

Sementara itu, ditanya mengenai kemasukan penyewa utama baharu ke pusat beli belah syarikat itu, Glo Damansara Mall, FD Iskandar berkata ia sebuah syarikat gaya hidup ternama dari China.

“Penyertaan syarikat ini akan meningkatkan kadar penghunian pusat beli belah ini kepada 75 peratus hingga 80 peratus berbanding kurang daripada 50 peratus ketika ini.

“Kami akan mengadakan sidang media bersama tidak lama lagi untuk mengumumkan mengenai perjanjian ini. Ini adalah pelaburan pertama syarikat itu di Asia Tenggara dan ia sudah tersenarai di Shanghai dan Hong Kong, malah tahun lalu, ia berada di belakang IKEA dari segi jumlah jualan perabot,” katanya.

Dalam pada itu, FD Iskandar meminta pertimbangan kerajaan supaya dapat memperkenalkan semula inisiatif membantu pemaju yang pernah dilaksanakan sewaktu krisis kewangan tahun 1998 dikenali sebagai ‘kempen pemilikan rumah’.

Katanya, kempen yang diperkenalkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri ketika itu, ternyata berjaya membantu pemaju menjual semua rumah yang tidak terjual.

“Kini, kita berharap kerajaan dapat memperkenalkan semula inisiatif sama antaranya merendahkan atau hapuskan duti setem untuk pembeli rumah pertama bagi kediaman di bawah RM500,000.

“Selain itu, institusi kewangan juga diminta dapat memberi kadar faedah yang lebih baik untuk pembeli rumah pertama, memanjangkan tempoh pembiayaan serta mengurangkan kos perniagaan seperti kos pematuhan yang dikenakan kepada pemaju,” katanya.

Berita Harian X