Ahad, 4 Ogos 2019 | 7:19pm

TH Properties anjur karnival jualan perumahan Bandar Enstek

KUALA LUMPUR: TH Properties Sdn Bhd (TH Properties) melancarkan rumah contoh Pristine sempena penganjuran Karnival Jualan Perumahan Bandar Enstek yang berlangsung selama dua hari baru-baru ini.

Pembeli yang mengidamkan kediaman serba moden dan eksklusif boleh mempertimbangkan untuk memiliki unit kediaman yang terletak di atas tanah hak milik kekal Pristine 2.

Pristine 2 merangkumi pembinaan 48 unit kediaman yang ditawarkan pada harga menarik antara RM483,100 hingga RM667,800 dan ia menggabungkan konsep landskap berilhamkan alam semula jadi dan reka bentuk seni bina kontemporari.

Pengurus Besar Enstek Development Bandar Enstek TH Properties, Emran Ismail, berkata Pristine 2 yang direka sebagai pembangunan berkawal dan berpagar sememangnya sesuai untuk keluarga yang sedang membesar dan mereka yang mengidamkan kediaman di kawasan yang aman damai dan tersendiri, jauh daripada hiruk-pikuk kehidupan kota.

“Karnival dua hari yang diadakan ini memberi peluang kepada bakal pembeli rumah melihat sendiri rumah contoh teres dua tingkat dengan empat bilik tidur yang dibahagikan kepada tiga jenis susun atur dan saiz binaan.

“Pristine 2 dilancarkan pada Julai 2018 dengan nilai jualan keseluruhan RM22.67 juta dan dijangka siap menjelang Julai 2020.

“Kediaman Jenis A mempunyai kawasan binaan 1,584 kaki persegi (kps) dan 1,609 kps, manakala rumah Jenis B mempunyai kawasan binaan 1,662 kps dan 1,722 kps.

“Sementara itu, unit Jenis C pula menawarkan kawasan binaan seluas 1,774 kaki persegi dan 1,833 kaki persegi,” katanya.

TH Properties ialah anak syarikat milik penuh Lembaga Tabung Haji dengan bidang kepakaran utama dalam pembangunan hartanah, pembinaan, pengurusan projek serta pengurusan aset dan kemudahan.

Mengulas lanjut, Emran berkata, pelancaran rumah contoh Pristine di karnival berkenaan menepati cogan kata pihaknya iaitu ‘Building Beyond Buildings’ yang bukan saja berusaha menyediakan penyelesaian inovatif untuk memenuhi keperluan kumpulan pembeli rumah.

“TH Properties bertekad membina hartanah yang cemerlang dan sempurna untuk memenuhi gaya dan kecenderungan masyarakat secara umum.

“Kami mengutamakan keperluan dan permintaan pelanggan, justeru Pristine 2 menawarkan segala ciri yang dikehendaki, daripada reka bentuk anggun dan keselamatan kepada kawasan luar yang cukup luas,” katanya.

361 dibaca
Berita Harian X