Selasa, 6 Ogos 2019 | 3:10pm
Projek M Adora membabitkan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM378 juta.

Mah Sing bangun kediaman mampu milik M Adora

KUALA LUMPUR: Mah Sing Group Bhd meneruskan inisiatifnya menambah simpanan tanah dengan membuat pembelian ketiga tahun ini di Wangsa Melawati dengan keluasan 1.83 hektar bernilai kira-kira RM61.97 juta.

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulannya, Tan Sri Leong Hoy Kum, berkata tanah yang diambil alih dengan perintah pembinaan (DO) yang diluluskan untuk pembangunan kediaman itu membolehkannya memenuhi keperluan pasaran kediaman di lokasi matang yang memiliki permintaan tinggi.

Katanya, pembangunan kediaman mampu milik di tanah berkenaan dikenali sebagai M Adora dijangka membabitkan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM378 juta di mana tempahan bakal dibuka pada suku keempat tahun ini.

“Berdasarkan pelan awal, Mah Sing akan membangunkan dua blok kediaman mampu milik dengan pembinaannya dalam tempoh empat tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pembelian tanah di Wangsa Melawati dibuat selepas dua pembelian sebelum ini iaitu M Oscar di Kuchai Lama dan M Luna (Kepong) yang turut menerima kelulusan DO.

M Oscar kini dibuka untuk pendaftaran, manakala M Luna dan M Adora masing-masing dibuka untuk pendaftaran pada suku keempat tahun ini.

Mah Sing berkata, ketiga-tiga pengambilalihan tahun ini membolehkan ia bersedia untuk pembangunan segera, meneruskan rekod jejak kumpulan untuk membangunkan kediaman mewah mampu milik di lokasi strategik bagi memenuhi permintaan segera pasaran.

“Mah Sing masih meninjau tanah di lebih banyak lokasi strategik terutama di Lembah Klang. Langkah pengembangan yang dilaksanakan syarikat ini disokong lembaran imbangan yang sihat dengan tunai dan baki simpanan sebanyak RM1.3 bilion untuk suku tahun berakhir 31 Mac 2019,” katanya.

Sementara itu, M Adora yang terletak hanya 800 meter dari Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dan memiliki akses terus dari Jalan Wangsa Melawati 1.

Memandangkan lokasinya terletak di kawasan utama, Mah Sing membuat perancangan mengenai jenis produk bagi memenuhi permintaan pasaran semasa menerusi pendaftaran pada suku keempat tahun ini, sekali gus membolehkan kumpulan berkenaan meneruskan sokongan ke atas Kempen Pemilikan Rumah Kebangsaan (HOC).

M Adora menawarkan unit mampu milik dengan keluasan dari 850 kaki persegi dengan harga bermula RM468,000.

348 dibaca
Berita Harian X