Rabu, 14 Ogos 2019 | 3:08pm
PRESIDEN Wilayah, Country Garden Malaysia, Jason Fu (tengah) bersama pengurusan Country Garden Malaysia melancarkan projek terbaru "Lake City @ KL di MITEC. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Country Garden bangun projek Lake City@KL North

KUALA LUMPUR: Country Garden Malaysia melancarkan pembangunan terbaharunya, Lake City@KL North yang menjadi projek pembangunan berorientasikan transit (TOD) bersepadu pertamanya di Kuala Lumpur.

Projek berkenaan berkonsepkan HOPSCA yang mewakili pembangunan hotel, pejabat, taman, pusat membeli-belah, ketersambungan dan komuniti apartmen.

Menerusi pegangan saham bersama Perdana ParkCity, Lake City@KL North dijangka mampu meningkatkan nilai tarikan dan pelaburan pasaran hartanah di kawasan Utara Kuala Lumpur (KL) yang merangkumi Kepong, Selayang, Sentul, dan Jalan Kuching.

Presiden Wilayah Country Garden Malaysia, Jason Fu, berkata Lake City@KL North memiliki keunikan ciri dengan kawasan kejiranan yang lengkap serta memberi nilai tambah dan berfungsi sebagai bandar yang membolehkan pembangunan berintegrasi melalui sistem pengangkutan yang cekap.

“Ia terletak di kawasan perdana seluas 32.37 hektar (80 ekar) dan akan membantu merangsang pertumbuhan aktiviti ekonomi setempat dalam mewujudkan peluang pekerjaan baharu, kemudahan dan pengangkutan lebih mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pra-tonton projek Lake City@KL North, di sini, hari ini.

Fu berkata, konsep HOPSCA adalah pengenalan baharu di Malaysia dan pihaknya komited mencipta pembangunan lebih baik bagi masyarakat, sekali gus membantu pembangunan ekonomi di kawasan sekitar.

Katanya, setiap projek yang dibangunkan Country Garden Malaysia adalah hasil daripada perancangan yang teliti dengan mengambil kira faktor seperti sumber semula jadi, pengangkutan awam sedia ada dan kemudahan runcit.

“Kami melihat banyak potensi di Utara KL selain keperluan penduduk yang semakin bertambah. Kami percaya Utara KL bakal menjadi hab utama di Lembah Klang,” katanya.

Beliau berkata, dengan jangkaan populasi di Utara KL bakal mencecah 10 juta penduduk menjelang 2020 (mengikut Jabatan Perangkaan), Lake City@KL Nourth sememangnya direka bentuk untuk pelbagai fungsi.

189 dibaca
Berita Harian X