Rabu, 14 Ogos 2019 | 3:45pm
FASA satu Setia Safiro.

Fasa satu Setia Safiro, Setia Mayuri habis dijual

KUALA LUMPUR: Fasa satu Setia Safiro, projek terbaru yang dibangunkan pemaju pembangunan terkemuka, S P Setia Bhd menerima sambutan yang amat menggalakkan sehingga semua unitnya habis dijual semasa pelancaran projek berkenaan baru-baru ini.

Dikenali sebagai Rosario, fasa 1A itu membabitkan 97 unit rumah dua tingkat dengan pegangan bebas yang terletak kira-kira lima kilometer dari perbandaran Setia Eco Glades di Cyberjaya, Selangor.

Naib Presiden Eksekutif Kanan S P Setia, Datuk Koe Peng Kang, berkata memandangkan fasa 1A sudah habis, pembeli boleh menunggu pelancaran fasa 1B bagi mendapatkan unit kediaman di projek berkenaan.

“Berdasarkan hubungan kerjasama baik kami dengan pemaju induk Cyberjaya, Setia Haruman Sdn Bhd, kami teruja untuk bersama membangunkan Setia Safiro dengan mereka.

“Pembeli rumah boleh menjangkakan lebih banyak jalinan kerjasama di Cyberjaya pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Setia Safiro adalah projek pembangunan yang disasarkan untuk pembeli rumah pertama dan keluarga muda yang mahu menaik taraf kediaman mereka.

Diinspirasikan oleh pelan grid bersepadu yang moden dari bandar raya Barcelona, Setia Safiro direka untuk memastikan kelancaran antara manusia, alam semula jadi dan pengangkutan.

Sementara itu, dalam kenyataan yang sama, S P Setia turut mengumumkan bahawa fasa satu projek pembangunan berkonsep Bali di Semenyih, Setia Mayuri juga habis dijual.

Fasa satu Setia Mayuri yang terdiri daripada 46 unit kediaman semi-d menyediakan persekitaran yang eksklusif dan menenangkan. Dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) RM700 juta, pembangunan itu direka dengan seni reka Bali yang cantik.

Naib Presiden Eksekutif S P Setia, Datuk Tan Hon Lim, berkata pihaknya amat gembira dengan maklum balas baik yang diterima bagi Setia Mayuni.

“Kami yakin koridor selatan Kuala Lumpur akan terus menjadi tumpuan pembeli hartanah dan dengan adanya konsep unik pada Setia Mayuri, ia menjadikan projek berkenaan berbeza dengan yang lain,” katanya.

Berita Harian X