Rabu, 21 Ogos 2019 | 1:23pm
Ketua Pegawai Eksekutif Berjaya Land, Syed Ali Shahul Hameed (dua dari kiri) bertukar dokumen perjanjian bersama Ketua Pegawai Kewangan Trendcell, Chong Han Keong.

B-Land lancar Menara B The Tropika tahun ini

KUALA LUMPUR: Berjaya Land Bhd (B-Land) komited untuk melancarkan Menara B bagi projek hartanah bercampurnya di Bukit Jalil, The Tropika tahun ini, didorong kerjasama dengan Maybank Islamic Bhd menerusi inisiatif HouzKEY.

HouzKEY adalah skim inovatif sewa beli hartanah ‘Rent-To-Own’ (RtO) yang dilancarkan oleh Maybank awal tahun lalu bagi memudahkan pembeli rumah pertama memiliki rumah idaman.

Pengurus Besar Kanan Bahagian Pemasaran dan Jualan Hartanah B-Land, Tan Tee Ming, berkata kadar pemilikan Menara A The Tropika adalah sangat baik iaitu 70 peratus dan pelancaran blok berikutnya akan dijalankan apabila blok pertama mencapai 80 peratus kadar pemilikan.

Tee Ming berkata, menerusi inisiatif berkenaan pembeli rumah pertama tidak perlu risau mengenai bayaran pendahuluan malah hanya perlu menyediakan pendahuluan tiga bulan deposit keselamatan.

“Inisiatif yang saya kira sangat bagus ini dapat membantu generasi muda atau keluarga baharu memiliki rumah tanpa membebankan mereka membayar wang pendahuluan yang tinggi, sekali gus mengurangkan masalah pemilikan rumah yang berlaku terutama di bandar besar seperti Kuala Lumpur.

“Menerusi inisiatif ini juga, ia menawarkan aliran wang tunai yang lebih fleksibel, yang mana pembeli boleh memilih untuk duduk dahulu dan memilih untuk membeli rumah berkenaan dalam tempoh lima tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menandatangani perjanjian sewaan antara B-Land dengan Trendcell Sdn Bhd.

Ia bakal menyaksikan Trendcell, yang mengendalikan pasar raya Jaya Grocer penyewa utama di pembangunan komersial The Tropika dengan keluasan 23,695 kaki persegi.

B-Land diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syed Ali Shahul Hameed dan Tee Ming manakala Trendcell diwakili Ketua Pegawai Kewangannya, Chong Han Keong.

Mengulas mengenai kerjasama itu, Han Keong berkata, syarikat memilih The Tropika berikutan lokasi strategiknya di tengah-tengah Bukit Jalil dan konsep pembangunannya yang unik.

“Kami bukan sahaja menawarkan pengalaman beli-belah terbaik kepada penduduk The Tropika tetapi juga memberi kemudahan kepda penduduk sekitar di Bukit Jalil,” katanya.

Terletak di tanah seluas 2.63 hektar, projek yang mula dilancarkan pada Februari lalu itu menawarkan empat menara membabitkan 868 unit kediaman dengan keluasan antara 732 kaki persegi hingga 1,381 kaki persegi.

Sementara itu, bagi ruang komersial, The Tropika menawarkan lot seluas 23,695 kaki persegi yang sudah diambil oleh Jaya Grocer bersama-sama dengan lot pejabat dua tingkat bermula 3,316 kaki persegi hingga 3,814 kaki persegi dan lot runcit dari 752 kaki persegi hingga 1,677 kaki persegi.

Berita Harian X