Rabu, 4 September 2019 | 3:34pm
Pengarah Budaya dan Jenama Country Garden, Emma Han. NSTP/Amirudin Sahib.

Aradia Residence dapat sambutan menggalakkan

KUALA LUMPUR: Fasa pertama projek pembangunan Country Garden Lake City yang dikenali sebagai Aradia Residence mendapat sambutan menggalakkan daripada pembeli apabila menerima 400 pra-tempahan dalam tempoh dua hari.

Pengarah Budaya dan Jenama Country Garden, Emma Han, berkata projek Aradia Residence membabitkan pembinaan tiga blok kondominium dengan 1,000 unit kediaman dan 23 lot kedai di atas tapak seluas 1.772 hektar.

Katanya, ia menawarkan empat jenis rumah dengan keluasan antara 943 kaki persegi hingga 1,687 kaki persegi.

“Harga bagi setiap unit bermula daripada RM700 untuk setiap kaki persegi dan pada masa ini, harga masih belum dimuktamadkan sepenuhnya dan hanya akan diumumkan pada majlis pelancaran utama pada Oktober depan.

“Fasa pertama projek ini dijangka siap sepenuhnya pada 2023. Kami sedar populasi kawasan utara Kuala Lumpur menyaksikan perkembangan yang pantas dan disebabkan itu, kami membangunkan projek ini untuk memenuhi keselesaan bakal pemilik rumah di kawasan ini,” katanya pada sesi lawatan media di galeri jualan projek berkenaan di sini, hari ini.

Projek pembangunan Country Garden Lake City dibangunkan oleh dua pemegang saham utama iaitu Country Garden Holdings Company Ltd (Country Garden) dan Perdana Park City Sdn Bhd.

Keseluruhan projek berkenaan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 10 tahun akan datang dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM600 bilion.

Country Garden adalah syarikat pembangunan hartanah yang berpangkalan di Guangdong, China.

Selain di Kuala Lumpur, ia juga mempunyai projek lain di Danga Bay, Central Park dan juga Diamond City.

Mengulas lanjut, Han berkata projek berkenaan juga dibangunkan dengan konsep Hotel, Pejabat, Taman, Pusat Beli-belah, Akses dan Apartmen (HOPSCA).

“Ia akan mengaplikasikan ciri-ciri kejiranan yang lengkap, dihubungkan dengan sistem pengangkutan yang tersedia,” katanya.

143 dibaca
Berita Harian X