Jumaat, 6 September 2019 | 5:47pm
Projek Alstonia Hilltop Homes oleh MRCB Land Sdn Bhd. NSTP/Owee Ah Chun.

Projek Alstonia oleh MRCB Land terima sambutan baik

SUNGAI BULOH: Projek Alstonia Hilltop Homes (Alstonia) yang dibangunkan MRCB Land Sdn Bhd mendapat sambutan positif dalam kalangan pembeli dengan kadar tempahan sebanyak 30 peratus sejak dilancarkan Mei lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Raymond Cheah, berkata Alstonia adalah projek kediaman yang menawarkan gabungan alam semula jadi dan perbandaran serta direka mengikut kontur semula jadi kawasan eksklusif Bukit Rahman Putra di Selangor dengan keluasan kawasan 1.66 hektar.

“Pencapaian kadar tempahan yang bersamaan dengan jualan RM70 juta itu menjadikan syarikat berada dalam landasan baik bagi mencapai sasaran jualan sebanyak RM100 juta menjelang hujung tahun ini.

“Untuk meningkatkan bilangan pembeli, kami juga menawarkan pakej jualan menarik bagi Alstonia sempena Kempen Pemilikan Rumah yang sedang berlangsung sehingga hujung tahun ini,” katanya pada taklimat media mengenai perkembangan terkini Alstonia di sini, hari ini.

Beliau berkata, projek terbabit menawarkan dua jenis hartanah iaitu 31 unit rumah teres superlink tiga tingkat dikenali sebagai Garden Villas dan 24 tingkat bangunan kediaman yang terdiri daripada 214 unit rumah dikenali Garden Heights.

Menurutnya, Garden Villas memiliki ukuran 24 x 75 dengan keluasan 3,500 kaki persegi dan ditawarkan pada harga antara RM1.8 juta hingga RM2.2 juta manakala Garden Heights menawarkan keluasan bermula daripada 1,000 kaki persegi hingga 1,400 kaki persegi pada harga antara RM700,000 hingga RM1 juta.

“Alstonia terletak di lokasi strategik dan adalah pembangunan berpagar dan dijaga serta memiliki akses ke pelbagai lebuh raya utama.

“Terdapat bas pengantara bagi Transit Aliran Massa (MRT) untuk pengangkutan komuter ke stesen MRT Sungai Buloh yang mengambil perjalanan selama 10 minit sekali gus menyediakan kemudahan terbaik buat penduduk di Alstonia dan kawasan sekitar,” katanya.

Alstonia mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) keseluruhan sebanyak RM250 juta dan dijangka siap sepenuhnya menjelang suku ketiga 2023.

Ia plot tanah kedua daripada tiga plot tanah dimiliki oleh MRCB Land di Bukit Rahman Putra selepas projek Kalista Park Homes (plot tanah pertama) yang dilancarkan pada awal 2016 dan plot tanah ketiga yang menyaksikan MRCB Land melancarkan pembangunan komersial bersepadu dalam tempoh terdekat.

Berita Harian X