Jumaat, 4 Oktober 2019 | 7:02pm
KETUA Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Mohammad Mentek menyampaikan ucapan pada program Home Ownership Campaign Affordable Homes, di NU Sentral Kuala Lumpur. - Foto Mohd Yusni Ariffin

HOC 300 tawar rebat tunai pembelian rumah

KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan  dan Kerajaan (KPKT) menawarkan rebat tunai berjumlah RM672,000 bagi pembelian rumah mampu milik bernilai RM300,000 dan ke bawah, sepanjang penganjuran Kempen Pemilikan Rumah Mampu Milik (HOC) 300.

Rebat berkenaan diberikan kepada pembeli rumah menerusi cabutan bertuah yang diadakan sepanjang penganjuran kempen yang bermula hari ini hingga Ahad.

Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Seri Mohammad Mentek, berkata rebat itu pertama kali ditawarkan sebagai insentif daripada kementerian untuk membantu mengurangkan harga rumah, seterusnya menggalakkan pemilikan kediaman terutama bagi golongan B40 dan M40.

“Rebat tunai berjumlah RM672,000 itu adalah jumlah keseluruhan hasil sewaan gerai pameran yang dikenakan ke atas 32 pemaju yang menyertai HOC 300.

“Kutipan berkenaan sepatutnya disalurkan kepada kementerian, tetapi kami memulangkan semula kepada pembeli bertuah yang membeli rumah berharga bawah RM300,000.

“Ia diberikan dalam bentuk rebat tunai dan membantu mengurangkan lagi harga rumah yang dibeli,” katanya pada pelancaran Kempen HOC 300 bertemakan Rumah Mampu Milik, di sini, hari ini.

HOC 300 yang diadakan di NU Sentral menawarkan sebanyak 12,438 unit rumah dengan nilai keseluruhan hartanah berjumlah RM2.9 bilion.

Penganjuran HOC 300 kali ini hanya memfokuskan kepada jualan rumah mampu milik di bawah RM300,000 dan  pembeli rumah pertama.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara, N Jayaselan.

Mohammad berkata, selain rebat berkenaan, HOC 300 turut menawarkan insentif menarik lain seperti diskaun sehingga RM30,000 melalui Skim Perumahan Mampu Milik (mengikut terma dan syarat).

“Turut ditawarkan pengecualian duti setem bagi surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman serta pemberian diskaun dan rebat sehingga 30 peratus bagi projek PR1MA yang terpilih di seluruh negara (tertakluk terma dan syarat).

“Selain itu, PR1MA juga menawarkan baucer sehingga RM30,000 dalam bentuk peralatan elektrik dan perabot rumah bagi pembeli rumah PR1MA yang bertuah,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai penganjuran kempen, beliau berkata, kementerian menyasarkan kira-kira 60 peratus daripada keseluruhan unit rumah yang ditawarkan akan dijual.

Berita Harian X