Selasa, 8 Oktober 2019 | 1:18pm
PENGERUSI Koperasi Hartanah Anggun Bhd (KOHAB), Datuk Rosdi Arifin (lapan dari kiri) bergambar bersama ahli koperasi yang hadir pada Malam Anugerah Agensi KOHAB 2018/2019 di Shah Alam, baru-baru ini.

KOHAB sasar jual 5,000 rumah tahun depan

SHAH ALAM: Koperasi Hartanah Anggun Bhd (KOHAB), koperator perunding hartanah tempatan menyasarkan untuk menjual 5,000 unit hartanah bernilai RM1 bilion pada tahun depan.

Pengerusinya, Datuk Rosdi Arifin, berkata sasaran itu adalah dua kali ganda daripada sasaran ditetapkan pada tahun ini, iaitu RM500 juta.

Katanya, sehingga 13 September lalu, pihaknya sudah berjaya menjual lebih 1,400 rumah bernilai RM316 juta.

“Biarpun tidak sampai setahun kita beroperasi sepenuhnya, namun angka jualan yang dicatatkan adalah amat memberangsangkan. Ini semua dibantu

oleh ahli KOHAB seramai 1,086 orang setakat ini yang gigih melakukan jualan.

“Pada tahun depan, kita unjurkan bilangan ahli koperasi akan meningkat sekali ganda dan seterusnya membantu memacu sasaran syarikat untuk mencapai jualan RM1 bilion yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui pada Malam Anugerah Agensi KOHAB 2018/2019 di Shah Alam, baru-baru ini.

Malam anugerah yang julung kali diadakan KOHAB itu bertujuan meraikan dan memberi penganugerahan kepada ahli dan agensi yang mencipta kejayaan sepanjang tempoh dari Julai 2018 sehingga Jun 2019.

KOHAB yang didaftarkan pada Januari 2018 di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), berfungsi untuk menjalankan aktiviti pembangunan dan rundingan berkaitan hartanah dengan aktiviti utamanya adalah khusus kepada penjualan rumah.

Sehingga kini, KOHAB sudah menerima 52 kontrak penjualan daripada anak syarikat Anggun Armada Holdings Sdn Bhd.

Pada malam anugerah itu, seramai 103 orang penerima anugerah diraikan sempena dengan kejayaan mereka mencatat jualan yang memberangsangkan.

Bagi Anugerah Rookie Terbaik dimenangi Mohamad Shaiddin Razali yang mencatat jualan RM2.6 juta; Agen Terbaik oleh Zamzila [email protected] (RM7.31 juta) dan Penolong Pengurus Agensi Terbaik, Nur Ashimah Zainol Abidin (RM5.3 juta).

Anugerah Pengurus Agensi Terbaik dimenangi oleh Mihajul Ejul dengan nilai jualan sebanyak RM17.32 juta; Pengarah Agensi Terbaik, Mohd Noorhafizi Ibrahim (RM9.55 juta) dan Pengarah Kumpulan Terbaik oleh Mohd Ameran Abdullah (RM66.22 juta).

Anugerah Producer (Agen) Terbaik disandang oleh Zamzila [email protected] dengan jualan RM7.31 juta manakala Producer (Agensi) Terbaik oleh Ameran Amer Property Empire (RM66.22 juta) yang turut merangkul Anugerah Million Dollar Agency.

Pada majlis sama, Rosdi turut dianugerahkan Tokoh Usahawan Gemilang KOHAB.

Kepada mereka yang berminat untuk menyertai sebagai anggota dan agensi di bawah KOHAB, boleh layari laman web www.koperasihartanahanggun.com.my untuk pendaftaran.

Berita Harian X