Khamis, 24 Oktober 2019 | 3:57pm
PELANCARAN Melodi Perdana LBS Alam Perdana di Galeri Pameran LBS Perdana. NSTP/Saddam Yusoff.

LBS lancar pangsapuri Melodi Perdana

KUALA SELANGOR: LBS Bina Group melancarkan Melodi Perdana, pembangunan pangsapuri pertama di perbandaran LBS Alam Perdana dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM562 juta.

Ia susulan peningkatan trend warga kota yang ingin mendiami rumah jauh daripada kesesakan dan kesibukan bandar raya.

Pengarah Urusan Kumpulan LBS, Tan Sri Lim Hock San, berkata sebuah bandar yang lestari harus meliputi segenap aspek untuk meningkatkan kehidupan komuniti.

“Berasaskan kepada falsafah ini, kami memperkenalkan Melodi Perdana iaitu fasa keempat bagi pembangunan perbandaran LBS Alam Perdana, di mana ia direka dengan teliti bagi memenuhi keperluan kehidupan di pinggir bandar.

“Apa paling penting, pembangunan pangsapuri ini dilaksanakan berdasarkan teras utama kami iaitu mampu milik, memiliki hubungan rangkaian dan komuniti.

“Ia juga adalah seiring dengan hasrat kami untuk memajukan industri hartanah tempatan dan memenuhi permintaan hartanah pada harga berpatutan,” katanya pada majlis pelancaran Melodi Perdana di sini, hari ini.

Melodi Perdana terdiri daripada empat blok pangsapuri dengan 1,520 unit yang ditawarkan pada harga bermula dari RM359,900 bagi unit berkeluasan 901 kaki persegi dan memiliki tiga bilik tidur serta dua bilik air.

Unit baharu ini menyasarkan golongan pemilik rumah pertama, golongan profesional dan individu yang mengimpikan kediaman di persekitaran serba lengkap dan disokong dengan rangkaian kemudahan.

Hock San berkata, Melodi Perdana menawarkan pelbagai prasarana serba lengkap bagi menggalakkan suasana mesra komuniti yang berlandaskan gaya hidup cergas.

“Pembangunan pangsapuri ini juga turut menitikberatkan aspek keselamatan melalui pelaksanaan konsep kediaman berpagar dan berpengawal bagi mewujudkan suasana harmoni dan persekitaran yang tenteram dalam kalangan penduduk,” katanya.

Melodi Perdana terletak di lokasi pinggir bandar yang sedang pesat membangunan seperti Puncak Alam dan Sungai Buloh serta memiliki rangkaian jalan raya dengan akses ke Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya LATAR, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) dan Lebuhraya Bertingkat Damansara - Shah Alam (DASH) yang dijangka siap pada 2020.

Berita Harian X