Selasa, 29 Oktober 2019 | 5:03pm
Pengerusi KPFB, Datuk Sabari Misran (kiri) bersalaman dengan Pengarah Palladium Builders Sdn Bhd, Arun Prakash Subramaniam (kanan) sempena majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara KPFB dengan Palladium Builders Sdn Bhd di Wisma KPFB, Desa Melawati. - NSTP/Zulfadhli Zulkifli

Bandar koperasi pertama Malaysia dibina di Rawang

KUALA LUMPUR: Koperasi Peserta-Peserta Felcra Malaysia Bhd (KPFB) bakal melaksanakan projek pembangunan bandar koperasi pertama di Malaysia, Mutiara KPFB Coop Residensi di Rawang, Selangor dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM2 bilion.

KPFB menjalin usahasama dengan Palladium Builders Sdn Bhd bagi pembangunan projek terbabit.

Pengerusi KPFB, Datuk Sabari Misran, berkata projek itu dijangka akan memulakan pembinaan pada Februari 2020 dan siap sepenuhnya dalam tempoh tiga hingga empat tahun.

“Projek ini adalah ‘Coop City’ atau Bandar Raya Koperasi pertama di Malaysia yang terbuka kepada semua anggota koperasi untuk memiliki dan mendiami kediaman di sini.

“Kami akan membina kira-kira 4,000 unit bangunan meliputi pelbagai kelas dan saiz termasuk lot komersial seperti pejabat dan lot kedai di atas tanah berkeluasan 42 ekar (103.78 hektar) milik Mutiara KPFB Sdn Bhd, iaitu anak syarikat KPFB,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani dokumen perjanjian di antara KPFB dan Palladium Builders di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Nordin Salleh; Pengarah SKM Wilayah Persekutuan, Amran Abd Kadir dan Pengarah Pallidum Builders, Arun Prakash Subramaniam.

Mengulas lanjut, Sabari berkata, kelebihan yang diberikan bukan sahaja kepada anggota KPFB, malah ia satu inisiatif KPFB untuk memberikan peluang kepada koperasi lain yang ingin memiliki kediaman dan lot komersial ini dengan harga lebih rendah berbanding harga biasa.

“Dengan adanya unit kediaman ini akan dapat membantu golongan berpendapatan sederhana untuk memiliki rumah.

“Ini menunjukkan peranan koperasi dalam menyediakan keperluan asas kepada anggota dan juga masyarakat,” katanya.

Berita Harian X