Selasa, 18 Februari 2020 | 6:04pm
PROJEK perbandaran pintar Kwasa Damansara
PROJEK perbandaran pintar Kwasa Damansara

Celcom rakan ICT pilihan projek Kwasa Damansara

KUALA LUMPUR: Celcom Axiata Bhd dilantik sebagai rakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) pilihan bagi projek perbandaran pintar Kwasa Damansara di Sungai Buloh.

Melalui perjanjian bersama Kwasa Land Sdn Bhd (Kwasa Land), firma telekomunikasi itu akan bertanggungjawab membina asas bagi infrastruktur ICT dan kemudahan sambungan bersepadu bagi perbandaran berkenaan.

Celcom juga akan menyediakan penyelesaian pintar yang diperlukan bagi membolehkan Kwasa Land merancang dan membangunkan bandar pintar untuk Kwasa Damansara.

Pengarah Urusan Kwasa Land, Datuk Mohd Lotfy Mohd Noh, berkata pembabitan Celcom dalam pembangunan Kwasa Damansara termasuk pembangunan gentian optik perbandaran, penyelesaian penyambungan 5G, penyelesaian keselamatan pintar dan keselamatan bandar, papan tanda digital, akses internet dedikasi untuk perniagaan dan kesalinghubungan WiFi umum.

“Perkongsian dengan Celcom adalah bukti usaha merealisasikan visi kami dalam membina Kwasa Damansara sebagai bandar pintar.

“Kami yakin Celcom, sebagai salah satu daripada rakan kongsi kami, akan melengkapkan pelbagai aspek komponen yang ditawarkan Kwasa Damansara,” katanya dalam satu kenyataan.

Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Mohamad Idham Nawawi, berkata selain menyediakan asas kukuh kepada Kwasa Damansara sebagai bandar pintar utama di Malaysia, usaha itu juga akan membuka jalan bagi syarikat mengukuhkan lagi keupayaan jaringannya dengan melaksanakan tapak rangkaian baharu.

Beliau berkata, ia adalah asas penting bagi Celcom, dalam persediaan untuk melancarkan teknologi 5G tidak lama lagi.

“Kerjasama itu menandakan satu lagi kejayaan Celcom dalam pelaksanaan infrastruktur ICT berskala besar dan satu langkah ke hadapan dalam melancarkan rangkaian 5G.

“Kami membayangkan perbandaran pintar yang didorong oleh ekosistem digital yang mampan membolehkan penduduk memiliki pengalaman gaya hidup digital dan kehidupan pintar.

“Ia juga akan membantu mempercepatkan digitalisasi perniagaan dalam pembangunan,” katanya.

Kwasa Damansara bakal mengetengahkan perbandaran komuniti yang lestari dengan memberi tumpuan kepada tiga komponen utama, iaitu perbandaran hijau, kesalinghubungan dan inklusif.

Berita Harian X