Selasa, 25 Februari 2020 | 5:59pm
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise Berhad, Anwar Syahrin Abdul Ajib (kanan) dengan Ketua Pegawai Pemasaran UEM Sunrise Berhad, Kenny Wong di Galeri Jualan Kiara Bay, Kepong. - Foto Asyraf Hamzah
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise Berhad, Anwar Syahrin Abdul Ajib (kanan) dengan Ketua Pegawai Pemasaran UEM Sunrise Berhad, Kenny Wong di Galeri Jualan Kiara Bay, Kepong. - Foto Asyraf Hamzah

UEM Sunrise sasar lancar RM2 bilion hartanah 2020

KUALA LUMPUR: UEM Sunrise Bhd menyasarkan untuk melancarkan hartanah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM2 bilion tahun ini serta sasaran jualan RM2 bilion untuk dicapai bagi 2020.

Pemaju hartanah itu akan terus memanfaatkan kepakaran dan kemampuannya sebagai perancang perbandaran utama dengan memberi tumpuan terhadap kawasan pertumbuhan utamanya, iaitu Gerbang Nuasajaya, Aspira, Puteri Harbour dan Kiara Bay.

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Anwar Syahrin Abdul Ajib, berkata pihaknya optimis sasaran pelancaran RM2 bilion hartanah tahun ini mampu dicapai.

Beliau berkata, sebahagian besar pelancaran hartanah bagi 2020 akan tertumpu di wilayah tengah seperti Residensi Allevia di Mon’t Kiara dan Residensi Equine 9 di Seri Kembangan, termasuk blok pejabat pertama Solaris Parq.

“Kami percaya dalam peluang pelancaran projek baharu bagi memastikan kemampanan perniagaan kami dan mengekalkan lembaran imbangan yang kukuh,” katanya pada taklimat media strategi pertumbuhan bagi 2020 dan menampilkan UEM Sunrise 2.0 di sini, hari ini.

Pemaju hartanah itu juga menyasarkan untuk meningkatkan jualan belum dibilkan kepada sehingga RM4 bilion dalam tempoh dua tahun ini berbanding RM1.8 bilion setakat akhir 2019.

Mengulas mengenai rancangan pelupusan tanah dan aset tidak strategik UEM Sunrise, Anwar Syahrin berkata, pihaknya meninjau untuk menjual tanah dan aset tidak strategik bernilai antara RM400-RM500 juta memandangkan pengimbangan semula portfolio kekal sebagai strategi utamanya bagi 2020.

Beliau berkata, langkah itu akan membolehkan pemaju hartanah berkenaan dapat mengurangkan hutang korporatnya ke paras yang selesa, sekali gus membolehkan akses kepada pembiayaan yang lebih mudah dan pantas berikutan penarafan kredit yang lebih baik.

“Dana yang diraih daripada pelupusan aset dan tanah tidak strategik akan disalurkan kepada usaha sama baharu dan peluang yang termasuk untuk mendapatkan tanah simpanan baharu di kawasan utama termasuk Melbourne, Sydney dan London,” katanya.

Antara kawasan yang dikenal pasti untuk dijual terletak di Mersing (Johor), Kulai (Johor), Tapah (Perak), Seputeh (Kuala Lumpur) dan Seri Kembangan (Selangor).

Pemaju hartanah itu juga dalam rundingan dengan pembeli berpotensi untuk tanah di Tapah dan Seputeh.

Pada tahun kewangan 2019, UEM Sunrise menjual tanah dan aset tidak strategiknya bernilai RM429 juta.

Berita Harian X