X
Rabu, 26 Februari 2020 | 7:08pm
S P Setia Bhd
S P Setia Bhd

S P Setia catat jualan RM4.56 bilion

KUALA LUMPUR: S P Setia Bhd meraih jualan RM4.56 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019, sekali gus melepasi sasaran jualan RM4.55 bilion yang ditetapkannya.

Pencapaian itu di sebalik tahun mencabar 2019 yang diselubungi oleh isu geopolitik seperti perang perdagangan Amerika Syarikat (AS), ketegangan di Hong Kong selain kriteria pinjaman yang ketat.

Syarikat mencatatkan pendapatan dan keuntungan sebelum cukai RM3.93 bilion serta RM598 juta.

Mengenai saham keutamaan boleh tukar boleh tebus Islam A dan saham keutamaan boleh tukar boleh tebus Islam B, syarikat mengisytiharkan masing-masing dividen 6.49 peratus setahun dan 5.93 peratus setahun bagi tahun kewangan daripada 1 Julai 2019 hingga 31 Disember 2019.

Syarikat juga mengisytiharkan dividen satu sen sesaham mewakili 50 peratus nisbah pembayaran untuk tahun kewangan 2019.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif S P Setia, Datuk Khor Chap Jen, berkata projek tempatan kekal menjadi penyumbang utama kepada jualan sebanyak RM4.01 bilion atau 88 peratus daripada jualan keseluruhan.

Beliau berkata, baki sekitar 12 peratus atau RM543 juta pula adalah sumbangan daripada projek antarabangsa kumpulan seperti UNO Melbourne di Australia, Daintree Residence di Singapura dan EcoXuan di Vietnam.

“Bagi perniagaan tempatan, penjualannya terbesar kumpulan adalah daripada projek di wilayah tengah sebanyak RM2.78 bilion, dibantu oleh RM747 juta oleh projek wilayah selatan dan RM480 juta projek di wilayah utara.

“Kumpulan gembira dengan pencapaian ini dan mengekalkan kedudukan kami sebagai peneraju pemaju hartanah di Malaysia dari segi jualan", katanya dalam satu kenyataan.

Suku keempat tahun kewangan 2019 menjadi suku paling kukuh S P Setia apabila mencatatkan lonjakan jualan sebanyak RM1.49 bilion.

Ini termasuk jualan sebanyak RM675 juta dalam tempoh sebelas jam oleh pembeli ketika insentif Kempen Pemilikan Rumah (HOC).

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X