Selasa, 14 April 2020 | 12:36pm
Pasaran hartanah dijangka pulih separuh pertama 2021
Pasaran hartanah dijangka pulih separuh pertama 2021

Pasaran hartanah dijangka terkawal pasca COVID-19

KUALA LUMPUR: Pasaran hartanah Malaysia dijangka tidak mengalami senario terburuk pasca COVID-19 berikutan mempunyai asas-asas kewangan lebih stabil pada masa ini.

Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia ,Sheldon Fernandez, berkata pelbagai langkah telah dilaksanakan bagi menguruskan keadaan penyusutan yang dialami industri sebelum berlakunya wabak COVID-19 berkenaan.

“Jika dilihat krisis-krisis sebelum ini, had penurunan itu adalah sekitar 10 peratus berikutan pertumbuhan harga rumah secara keseluruhannya susut 9.4 peratus sewaktu krisis kewangan Asia pada 1998 dan seterusnya wabak virus Nipah.

“Bagaimanapun, ini senario terburuk kerana krisis pada 1998 itu berteraskan faktor kewangan,” katanya kepada Bernama.

Fernandez berkata, impak terhadap harga bagi setiap jenis atau kategori hartanah juga adalah berbeza.

Sebagai contoh, krisis kewangan Asia 1998 menyaksikan harga kediaman jenis unit tunggal atau bukan teres susut sebanyak 13.6 peratus manakala rumah jenis teres dan kediaman bertingkat lebih berdaya tahan dengan penurunan masing-masing sekitar 4.8 peratus dan 6.2 peratus.

Fernandez berkata, tidak dinafikan bahawa COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah memberi impak penurunan dari segi sentimen belian yang sememangnya telah merosot sebelum berlakunya penularan itu.

“Ini boleh dilihat menerusi Kajian PropertyGuru Mengenai Sentimen Pengguna Malaysia Bagi Separuh Pertama 2020 yang mana Indeks Sentimen Hartanah Malaysia telah susut dua mata daripada 44 mata pada separuh pertama 2019 kepada 42 mata pada awal tahun ini.

“Orang ramai lebih bertumpukan usaha untuk meneruskan kehidupan seharian serta isu-isu keperluan utama lain. Oleh itu, kebanyakan keputusan membabitkan soal hartanah ini akan ditangguhkan dan ini terus menjejaskan permintaan,” katanya.

Menyentuh sama ada spekulasi akan terus mempengaruhi keadaan pada tempoh pasca PKP, beliau berkata walaupun aspek mekanisme itu masih dalam penelitian, pasaran hartanah telah membuktikan keupayaannya untuk kembali pulih selepas berlakunya krisis dan kemerosotan jangka pendek.

Selain daripada kelemahan permintaan apabila keadaan pulih, kecenderungan itu juga berkait rapat dengan tindakan pelabur melakukan penyusunan semula portfolio masing-masing bagi mengurus risiko serta mengutamakan hartanah yang dinilai lebih rendah.

“Oleh kerana pemulihan pasaran hanya dijangkakan seawal separuh pertama 2021 selain impak COVID-19 dan PKP terhadap kadar sewaan dan pertumbuhan yang sederhana, semua aspek ini lebih cenderung kepada pelaburan jangka panjang berbanding spekulator jangka pendek atau mereka yang membeli bagi tujuan mengaut keuntungan semata-mata,” katanya.

Fernandez turut menyentuh permintaan yang dikemukakan oleh Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) kepada kerajaan yang boleh membantu menangani masalah unit kediaman tidak terjual di negara ini.

Ini termasuk mewujudkan semula Kempen Pemilikan Rumah, mengkaji semula cukai keuntungan harta tanah (CKHT), menyeragamkan harga ambang hartanah untuk pembelian antarabangsa di semua negeri dan meneliti semula had nisbah pinjaman kepada nilai bagi pembelian rumah ketiga.

“Penelitian semula had nisbah pinjaman kepada nilai itu khususnya, berkemungkinan berkesan sebagaimana data trafik di portal PropertyGuru Malaysia menunjukkan sebahagian besar pertanyaan adalah membabitkan hartanah jenis pangsapuri, kediaman bertingkat tinggi serta kondominium dengan harga dalam lingkungan RM900,000 hingga RM2,000,000 pada Mac dan setakat April ini.

“Ini menunjukkan bahawa permintaan terhadap segmen hartanah ini kekal tinggi tetapi berkemungkinan tidak berakhir dalam bentuk transaksi data akibat dasar atau kekangan kewangan. Oleh itu, usaha untuk menangani perkara ini akan menjadi langkah untuk memudahkan pasaran menyerap unit tidak terjual ini,” kata Fernandez.

-BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X