X
Sabtu, 18 April 2020 | 11:51am
Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

COVID-19: Harga rumah dijangka susut hingga 10 peratus

Harga rumah dijangka turun sehingga 10 peratus susulan impak negatif penularan COVID-19, demikian pandangan peserta industri.

Industri hartanah di kebanyakan negara dijangka terkesan oleh gangguan aktiviti ekonomi susulan langkah sekatan perjalanan dan kawalan pergerakan yang dilaksanakan untuk membendung penularan pantas wabak berkenaan.

Presiden Institut Ejen Harta Tanah Malaysia (MIEA), Lim Boon Ping, berkata impak penularan COVID-19 akan mendorong peralihan ketara dalam transaksi pasaran hartanah di negara ini.

Beliau berkata, pelarasan harga dan transaksi hartanah dijangka berlaku seperti situasi yang berlaku ketika pasca Krisis Kewangan 1997.

“Pasaran hartanah dijangka melihat pelarasan dalam harga sekitar kira-kira 10 peratus,” katanya dalam satu kenyataan mengulas mengenai tinjauan pasaran hartanah pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sementara itu, Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk Ir Soam Heng Choon, berkata pihaknya menjangka pasaran hartanah akan perlahan dengan sedikit pelarasan harga susulan impak penularan COVID-19.

Namun begitu, beliau berkata, sebanyak mana pelarasan harga berlaku, ia bergantung kepada prestasi ekonomi benar dalam tempoh enam hingga sembilan bulan akan datang.

Jelasnya, keadaan itu bergantung kepada bekalan dan permintaan serta melihat kepada situasi pasaran pekerjaan dalam beberapa bulan akan datang.

Jika terdapat mereka yang gagal membayar pinjaman rumah berikutan kehilangan pekerjaan dan pengurangan pendapatan serta kemungkinan selepas tempoh moratorium bank enam bulan, sudah pasti penjual terdesak bersedia untuk menjual hartanah mereka di bawah harga pasaran, katanya.

“Kami tidak mempunyai ‘bola kristal’ yang dapat memberi jawapan. Yang lain hanya meneka. Kita perlu melihat dalam beberapa bulan ke depan bagaimana pasaran pekerjaan. Ia bergantung kepada isu penawaran dan permintaan,” katanya.

Sementara itu, PropertyGuru Malaysia, sejajar dengan komitmennya untuk meneruskan tanggungjawab sebagai penasihat hartanah negara, menjangkakan kesan terhadap sentimen pencari rumah bersifat sementara dengan prospek pemulihan dalam jangka terdekat.

Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez, berkata pendapatan dan pekerjaan telah terjejas teruk oleh penutupan premis perniagaan yang tidak disenaraikan dalam perkhidmatan penting semasa PKP, dan banyak rakyat Malaysia kini mengutamakan isu kehidupan seharian.

Beliau berkata, sentimen yang lembap itu berkemungkinan berterusan sehingga separuh kedua 2020, namun langkah seperti pengumuman pakej rangsangan ekonomi dan penangguhan selama enam bulan dalam pembayaran balik pinjaman boleh membantu pasaran untuk bangkit semula nanti.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X