Khamis, 30 April 2020 | 10:16am
Rumah mampu milik menjadi pilihan pembeli - Gambar hiasan
Rumah mampu milik menjadi pilihan pembeli - Gambar hiasan

Rumah bawah RM300,000 masih dapat permintaan tertinggi

KUALA LUMPUR: Permintaan bagi kediaman berharga RM300,000 dan ke bawah di negara ini kekal paling tinggi, dengan 61.7 peratus urus niaga pindah milik pada 2019 adalah membabitkan kediaman dalam lingkungan harga sedemikian.

Laporan Pasaran Harta Tanah Malaysia 2019 yang diterbitkan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Malaysia (JPPH) menunjukkan terdapat 209,295 urus niaga pindah milik kediaman bernilai RM72.42 billion direkodkan tahun lalu.

"Jumlah itu mewakili peningkatan sebanyak enam peratus berbanding 197,385 pindah milik pada 2018 manakala nilainya meningkat 5.3 peratus berbanding RM68.75 bilion sebelum itu," katanya.

Laporan JPPH menunjukkan, kediaman berharga RM300,000 hingga RM500,000 merangkumi 21.3 peratus pindah milik pada tahun lalu, diikuti kediaman berharga RM500,000 hingga RM1 juta (13.3 peratus), manakala hanya 3.7 peratus membabitkan kediaman berharga melebihi RM1 juta.

Sementara itu, laporan itu juga mendapati situasi kediaman siap dibina tidak terjual dan belum terjual bertambah baik.

"Terdapat 30,664 unit siap dibina tidak terjual bernilai RM18.82 bilion, yang susut sebanyak 5.1 peratus dari segi bilangan dan 5.2 peratus dari segi nilai berbanding 32,313 unit bernilai RM19.86 bilion pada 2018," katanya.

JPPH berkata, keadaan yang sama berlaku bagi kediaman dalam pembinaan serta belum dibina belum terjual yang jumlahnya berkurangan kepada 72,692 unit dan 16,774 unit, masing-masing susut sebanyak 10.2 peratus dan 15.6 peratus.

Katanya, Johor mengekalkan jumlah dan nilai tertinggi bagi hartanah siap dibina tidak terjual dengan 5,627 unit bernilai RM4.7 bilion diikuti Perak (5,024 unit bernilai RM1.52 bilion), Selangor (4,687 unit bernilai RM3.75 bilion) dan Pulau Pinang (3,353 unit bernilai RM2.59 bilion).

"Mengikut lingkungan harga, kediaman berharga lebih RM500,000 atau 12,528 unit membentuk 40.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kediaman siap dibina tidak terjual, manakala kediaman berharga antara antara RM300,000 hingga RM500,000 adalah sebanyak 7,883 unit atau 25.7 peratus," katanya.

Dari segi trend harga, Indeks Harga Rumah Malaysia (IHRM) terus meningkat pada kadar sederhana.

IHRM berada pada 197.5 mata (pada tahun asas 2010), meningkat 1.9 peratus atau 3.8 mata pada asas tahunan.

Secara keseluruhan, pasaran hartanah yang turut membabitkan subsektor lain seperti hartanah komersial mencatatkan peningkatan kecil urus niaga tahun lalu.

Sebanyak 328,647 pindah milik bernilai RM141.4 bilion direkodkan pada 2019, peningkatan sebanyak 4.8 peratus dari segi jumlah dan 0.8 peratus dari segi nilai.

Berita Harian X