Khamis, 30 April 2020 | 1:54pm

SP Setia kekalkan sasaran jualan RM4.55 bilion

KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah, SP Setia Bhd bukan hanya mengekalkan sasaran jualan bernilai RM4.55 bilion bagi tahun ini, malah yakin mempertahankan kedudukan utamanya di Malaysia walaupun unjuran ekonomi yang mencabar dalam keadaan pandemik COVID-19.

Menerusi Laporan Tahunan Bersepadu, syarikat itu berkata prospek disokong oleh 48 projek yang sedang dijalankan dan keseluruhan nilai jualan tidak dibilkan sebanyak RM10.67 bilion, selain memanfaatkan kepelbagaian tawaran produk.

Bagaimanapun, menurutnya ia tidak mengambil kira sebarang peningkatan impak daripada jangkitan COVID-19 selain lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan menjejaskan perniagaan.

SP Setia berkata, ia akan terus berhati-hati, cekap dan menjadikan pelancarannya dapat memenuhi permintaan produk didiami pemilik seperti hartanah dan produk bertanah jenis pertengahan, yang akan meningkatkan nilai sebuah perbandaran.

"Kumpulan juga mengambil langkah untuk menawarkan produk yang memenuhi permintaan pasaran, dengan menekankan pelancaran hartanah kediaman bertanah di perbandaran sedia ada memandangkan permintaan kukuh bagi produk didiami pemilik hadir dari lokasi ini.

"Berlandaskan daya tahan dan dapat memenuhi permintaan, kami boleh berada di kedudukan lebih baik serta di tahap lebih kukuh berbanding yang lain dalam kelembapan semasa," katanya.

Syarikat itu berkata, ia akan melancarkan produk komersial seperti lot kedai di Alam Impian, Kota Bayuemas, Temasya Glenmarie, Setia Eco Glades dan Taman Pelangi.

Ini memandangkan produk terbabit penting untuk menyokong dan meningkatkan skala campuran pembangunan sedia ada di samping memastikan kemampanan kawasan perumahan ini, kata SP Setia. - BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X