Isnin, 17 Julai 2017 | 3:43pm

Pendapatan i-Bhd menokok RM26.6j suku kedua

SHAH ALAM: I-Bhd mencatatkan keuntungan sebelum cukai lebih tinggi kepada RM26.6 juta bagi suku kedua 2017 berakhir 30 Jun 2017, menokok 13 peratus berbanding RM23.6 juta pada tempoh sama tahun lalu.

Dalam suku dikaji, pendapatan syarikat pembangunan hartanah itu meningkat 47 peratus kepada RM127.8 juta daripada RM86.7 juta tahun lalu.

Menurut kenyataan i-Bhd, segmen pembangunan hartanah terus menjadi penyumbang utama kepada prestasi mantap itu, dipacu kemajuan pembinaan dan jualan berterusan daripada empat projek iaitu i-Suite, Menara Liberty, Menara Parisien dan Menara Hyde di i-City.

Sehingga kini, kumpulan melancarkan Hill10 Residence @ i-City membabitkan 204 kediaman mewah di atas DoubleTree by Hilton @ i-City Shah Alam.

Katanya, jualan belum dijelaskan kumpulan sehingga pada 30 Jun 2017 adalah sebanyak RM225 juta berbanding RM448 juta pada 31 Mac 2017.

"Bagaimanapun, jualan Hill10 dijangka dapat dilihat pada separuh kedua tahun ini. Kumpulan yakin akan terus berinovasi untuk melancarkan produk yang berkaitan dengan gaya hidup teknologi terkini, " katanya.

Membezakannya dengan pemaju hartanah lain, i-Bhd terus melabur di i-City dan mengkaji semula teknologi dengan rakan teknologinya, Huawei untuk penambahbaikan projek i-City

I-Bhd juga akan mengembangkan taman temanya menerusi pembukaan fasa baharu yang lebih interaktif Red Carpet 2 pada suku ketiga tahun ini.

Kumpulan itu menjangkakan 2017 bakal merekodkan satu lagi tahun terbaik dari segi pendapatan dan keuntungan.

Info

* CNN Travel mengumumkan i-City antara 25 lokasi paling terang dan paling berwarna di dunia

Berita Harian X