Selasa, 8 Ogos 2017 | 9:26pm
MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berucap pada perasmian GLC Explorace 2017 Cemerlang Mendepani Dunia Digital di Sime Darby Convention Centre. - Foto BERNAMA

GLC ExplorAce 2017 platform lahir jaguh digital global

KUALA LUMPUR: Program GLC ExplorAce 2017 untuk julung kali bakal menjadi platform melahirkan jaguh ASEAN dan global industri digital apabila meluaskan spektrum penganjurannya meliputi peserta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

GLC ExplorAce adalah inisiatif kerajaan menyediakan platform untuk vendor Bumiputera di bawah seliaan syarikat peneraju menerusi Program Pembangunan Vendor (PPV) bagi menerokai peluang perniagaan baharu.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, penganjuran kali ini berbeza apabila agenda digital turut diberikan penekanan dalam melahirkan jaguh global.

Katanya, kehadiran agensi seperti Pusat Inovasi dan Kreativiti Malaysia (MaGIC) dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) akan menarik syarikat pemula mengambil tempat bersaing meneroka potensi besar di bawah syarikat peneraju.

"Tahun ini kita masukkan agenda digital, sekali gus membuktikan ada pengembangan daripada program terdahulu.

"Agenda digital adalah perkara yang kita ingin galakkan sejak dulu untuk melihat lebih banyak syarikat berjaya di Malaysia dan meneroka pasaran serantau serta global," katanya pada majlis pelancaran Program GLC ExplorAce 2017 di sini, hari ini.

Program kali kelima bertemakan Cemerlang Mendepani Dunia Digital itu, dianjurkan di Pusat Konvensyen Sime Darby Kuala Lumpur menerusi kerjasama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), UEM Group, Sime Darby Bhd dan Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF).

Program GLC ExplorAce itu turut menjadi gelanggang 50 syarikat pemula menyertai sesi Start-up Innovation Pitch yang dikendalikan MaGIC membentangkan idea, cadangan penyelesaian dan inovasi kepada syarikat peneraju supaya dapat bersama mengambil bahagian.

Info:

Program GLC ExplorAce 2017

- 60 organisasi pempamer

- 15 syarikat peneraju sertai panel pemadanan perniagaan kenal pasti potensi vendor PPV.

Berita Harian X