Rabu, 27 September 2017 | 12:43pm

SME Bank terbit SUKSES bincang isu PKS

KUALA LUMPUR: SME Bank akan menerbitkan 44 episod program TV bertajuk "SUKSES" yang membincangkan perkembangan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) negara.

"SUKSES" adalah inisiatif terbaharu SME Bank untuk mengetengahkan pelbagai isu yang dihadapi oleh usahawan PKS dalam usaha mencapai sasaran sumbangan sebanyak 41 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2020.

Ketua Pegawai Operasi, Operasi & Pengurusan Korporat Kumpulan SME Bank, Datuk Razman Mohd Noor, berkata selain aspek perniagaan dan kisah usahawan dalam menguruskan operasi syarikat, program ini juga akan membawakan berita terkini dalam industri PKS.

Dalam masa yang sama, beliau berkata slot temu bual bersama wakil SME Bank yang akan berkongsi mengenai kemudahan pembiayaan, khidmat nasihat dan bimbingan serta aktiviti SME Bank juga akan turut dimuatkan.

"Penerbitan program "SUKSES" yang juga penerbitan program televisyen ketiga oleh SME Bank adalah usaha yang dilaksanakan bagi menyokong hasrat kerajaan memperkasa ekonomi negara dengan memperhebatkan lagi aktiviti pembangunan usahawan dan perniagaan dalam kalangan usahawan PKS," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Program yang akan mula disiarkan dari 29 September 2017 hingga Ogos 2018 akan menemui penonton setiap hari Jumaat, jam 8.30 malam di saluran Astro Awani 501.

Selain media elektronik (televisyen), "SUKSES" juga akan menggunakan platform media sosial untuk tontonan secara digital. "SUKSES" juga boleh ditonton di laman web SME Bank, www.smebank.com.my.

Program akan mengetengahkan syarikat daripada pelbagai industri seperti dari sektor Inovasi, Teknologi, Teknologi Hijau, Pendidikan, Pembuatan, Perkhidmatan dan sebagainya.

Berita Harian X