Rabu, 25 Oktober 2017 | 3:13pm

Maxis untung sukuan tertinggi

KUALA LUMPUR: Maxis Bhd mencatat prestasi kukuh pada suku kewangan ketiga berakhir 30 September 2017, apabila keuntungan bersihnya meningkat 9.7 peratus kepada RM554 juta berbanding RM505 juta suku sama tahun sebelumnya.

Ia diraih daripada pendapatan yang meningkat 2.8 peratus kepada RM2.217 bilion daripada RM2.156 bilion.

Demikian menurut data yang difailkan di Bursa Malaysia hari ini.

Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan Maxis berkata, prestasi suku kewangan syarikat pada suku dikaji kukuh secara keseluruhannya dengan perolehan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA), marjin EBITDA dan keuntungan selepas cukai yang tertinggi dalam tempoh lima tahun.

Ia berkata, EBITDA yang dinormalkan meningkat 5.0 peratus tahun-ke-tahun kepada RM1.201 bilion daripada RM1.144 bilion, mencerminkan pendapatan yang lebih tinggi dan keputusan positif susulan inisiatif mengoptimumkan kos.

Margin EBITDA berada pada 55.8 peratus berbanding 54.1 peratus suku sama tahun sebelumnya.

"Keuntungan bersih yang dinormalkan meningkat 8.3 peratus kepada RM562 juta berbanding RM519 juta berikutan EBITDA yang lebih tinggi," katanya dalam kenyataan itu.

Maxis berkata, segmen pascabayar merekodkan pertumbuhan tahun-ke-tahun tinggi 9.3 peratus dengan mencatat pendapatan RM1.055 bilion berbanding RM965 juta tempoh sama tahun lalu.

Ini katanya, didorong asas pelanggan kukuh menghampiri dua juta pelanggan pelan MaxisONE yang menyumbang purata pendapatan setiap pengguna (ARPU) yang tinggi sebanyak RM117 sebulan.

"Langganan Hotlink FAST meningkat kepada lebih daripada dua juta dan kami terus menerajui pasaran prabayar 4G dengan ARPU Hotlink FAST yang tinggi sebanyak RM43 sebulan.

"Bagaimanapun, persaingan bertumpukan harga yang sengit dan asas langganan menjana pendapatan yang lebih rendah disebabkan penggabungan SIM mengakibatkan pendapatan prabayar merosot 6.0 peratus tahun-ke-tahun kepada RM955 juta daripada RM1.017 bilion setahun lalu.

Maxis mengisytiharkan dividen interim ketiga lima sen sesaham.

Berita Harian X