Jumaat, 10 November 2017 | 8:14pm

Ali Baba cadang guna platform 11.11

Ali Baba Group (Ali Baba), syarikat penyedia e-dagang terbesar China bercadang meluaskan platform 11.11 iaitu festival beli-belah global atas talian ke pasaran Asia Tenggara dan India pada masa hadapan.

Naib Pengerusi Eksekutifnya, Joe Tsai, berkata langkah itu adalah antara pelan strategik syarikat untuk mencapai sasaran dua bilion pengguna akan menggunakan platform beli-belah atas talian Ali Baba menjelang tahun 2036.

Beliau berkata, Ali Baba memilih untuk mengeksport platform 11.11 ke pasaran antarabangsa dalam usaha syarikat untuk tidak mahu terlalu memberi fokus atau bergantung sepenuhnya terhadap pasaran China.

"Banyak perkara perlu dilihat jika Ali Baba mahu menembusi pasaran di rantau (Asia Tenggara) atau negara berkenaan (India) merangkumi hal-hal sensitif pengguna di sana.

"Oleh itu, Ali Baba akan memberi penekanan terhadap beberapa perkara meliputi perubahan perlu dibuat supaya pendekatan strategik kita melalui platform 11.11 sesuai dengan demografik dan budaya di negara berkenaan.

"Untuk memasuki pasaran negara berkenaan, mungkin sebagai permulaan kita boleh gunakan platform beli-belah atas talian seperti www.AliExpress.com," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab ketika majlis makam malam bersama lebih 300 pemberita antarabangsa bersempena dengan pelancaran Festival Beli-Belah Global 11.11 di sini, hari ini.

Dalam sesi itu, Tsai berkata, Ali Baba komited untuk menjadikan pengalaman membeli-belah secara atas talian sebagai salah satu bentuk hiburan yang menyeronokkan dalam kalangan pengguna.

Beliau berkata, platform beli-belah yang dibangunkan bersama augmented reality (AR) dapat menjadikan suasana membeli-belah lebih interaktif dan tidak membosankan.

Selain itu, katanya, gabungan antara beli-belah secara dalam talian dan fizikal (online dan offline) tidak boleh dipisahkan kerana medium berkenaan bergantung antara satu sama lain.

"Misalnya, sekiranya pengguna ke sebuah butik untuk membeli baju tetapi baju yang dimahukan tiada saiz atau habis, dia boleh membuat tempahan terus secara dalam talian.

"Kombinasi dalam talian dan fizikal adalah satu konsep peruncitan alaf baharu. Internet tidak semestinya 'berseorang', ia juga relevan bagi fizikal (premis perniagaan)," katanya.

Berita Harian X