Isnin, 20 November 2017 | 5:22pm
RAMZULHAKIM Ramli (tengah) bersama Eksekutif HSE & Training Bahagian Perniagaan LPG PDB, Hanbali Abidin (kanan) dan Pengurus Kanan, Bahagian Perniagaan LPG PDB, Zailail Mohamed ketika sesi foto selepas taklimat media Petronas Dagangan Berhad (PDB) mengenai tips keselamatan Gas Petroleum Cecair (GPC) di Hotel Impiana KLCC, Jalan Pinang.- Foto Nik Hariff Hassan
RAMZULHAKIM Ramli (tengah) bersama Eksekutif HSE & Training Bahagian Perniagaan LPG PDB, Hanbali Abidin (kanan) dan Pengurus Kanan, Bahagian Perniagaan LPG PDB, Zailail Mohamed ketika sesi foto selepas taklimat media Petronas Dagangan Berhad (PDB) mengenai tips keselamatan Gas Petroleum Cecair (GPC) di Hotel Impiana KLCC, Jalan Pinang.- Foto Nik Hariff Hassan

PetDag optimis kuasai pasaran LPG

KUALA LUMPUR: Petronas Dagangan Bhd (PetDag) optimis prospek pasaran gas petroleum cecair (LPG) semakin berkembang sejajar dengan pertambahan penduduk di negara ini.

Pengurus Besar Bahagian Perniagaan LPG PetDag, Ramzulhakim Ramli, berkata pasaran sektor itu di negara ini masih mengalami pertumbuhan positif berbanding negara jiran yang agak perlahan.

"Tahun lalu, segmen LPG berkembang kira-kira 1.5 peratus. Biasanya, pertumbuhan bagi pasaran LPG bergantung kepada kepadatan penduduk.

"Ketika ini, Petronas memiliki 50 peratus pegangan pasaran dalam sektor LPG dan kami komited untuk terus tingkatkan prestasi supaya kekal dominan," katanya pada taklimat keselamatan pengendalian gas silinder di sini, hari ini.

Dalam taklimat itu, Eksekutif Bahagian Persekitaran, Keselamatan dan Kesihatan (HSE) Perniagaan LPG Petdag, Ahmad Hanbali Abidin, menyarankan pengguna tidak menggunakan hos lutsinar yang diperbuat daripada plastik (PVC) sebagai langkah keselamatan.

"Ia tidak tahan lama, mudah bocor dan boleh menyebabkan kebakaran. Pengguna dinasihat menggunakan hos diperbuat daripada getah atau plastik hitam bermutu tinggi.

"Sebaik-baiknya alat atur ditukar setiap lima tahun manakala hos ditukar setiap dua tahun untuk mengekalkan ketahanan dan keselamatan," katanya.

Beliau turut mengingatkan orang awam supaya tidak membenarkan mana-mana pihak memeriksa tong gas yang mendakwa wakil Petronas.

"Ramai buat aduan ada wakil Petronas datang ke rumah untuk memeriksa hos dan tong gas malah menjual alat ganti pada harga yang mahal.

"Petronas tidak pernah melantik mana-mana individu untuk tujuan ini," katanya.

Ramzulhakim berkata, Petronas sudah melancarkan aplikasi perkhidmatan penghantaran LPG pertama di negara ini, gas2u pada 1 Jun lalu bagi memudahkan pengguna membuat pesanan.

"Ketika ini, lebih 100 ejen berdaftar di seluruh Malaysia dan pengguna boleh membuat pesanan menerusi aplikasi gas2u.com.my," katanya.

INFO

* Harga kawalan LPG

14kg - RM26.60

12kg - RM22.80

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X