Khamis, 23 November 2017 | 4:04pm

Axiata catat prestasi kewangan cemerlang

KUALA LUMPUR: Axiata Group Bhd (Axiata) menunjukkan prestasi kukuh dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini apabila merekodkan pertumbuhan dua digit dalam semua indeks utama.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, Axiata berkata, peningkatan itu dicatat berikutan kebanyakan syarikat operasi (OpCos) menunjukkan prestasi lebih baik daripada pasaran.

Jumlah pendapatan keseluruhan meningkat 15 peratus kepada RM18.1 bilion daripada RM15.8 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

Pertumbuhan pendapatan itu sebahagian besarnya didorong oleh segmen data dengan pendapatan data menyumbang 44 peratus daripada pendapatan perkhidmatan berbanding 33 peratus dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Prestasi itu memantapkan lagi kedudukan kumpulan sebagai peneraju dalam segmen data di rantau ini.

Keuntungan selepas cukai Axiata juga meningkat sebanyak 14.4 peratus kepada RM1.1 bilion berikutan peningkatan perolehan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) dan keuntungan tukaran asing.

Pengerusi Axiata, Tan Sri Azman Mokhtar, berkata pasaran terus berhadapan dengan persaingan yang kukuh dan ketidakpastian peraturan.

"Bagaimanapun, Axiata menunjukkan prestasi baik sehingga mencatat pertumbuhan dua angka yang kukuh pada masa ini.

"Lembaga Pengarah maklum mengenai kemajuan yang dibuat dalam program mengoptimumkan kos yang berterusan dan pemulihan operasi Celcom dan XL," katanya.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif Axiata, Tan Sri Jamaludin Ibrahim, berkata kumpulan mencapai beberapa kemajuan yang signifikan untuk mencatat pertumbuhan dua angka yang kukuh dalam semua petunjuk kewangan utama.

"Saya berbangga dengan peningkatan suku-ke-suku yang dicatat Celcom walaupun masih terdapat banyak usaha yang perlu dijalankan.

"Selain itu, program mengoptimumkan kos kumpulan melepasi sasaran setahun penuh dalam tempoh sembilan bulan pertama saja, iaitu RM160 juta," katanya.

Berita Harian X