Isnin, 27 November 2017 | 11:17pm
TINJAUAN pembangunan di Forest City, Gelang Patah. - Foto Khairull Azry Bidin
FOREST City dibangunkan di atas empat pulau buatan manusia mula dibangunkan pada Jun 2015. - Foto Khairull Azry Bidin

Projek 'Dubai ASEAN' jana ekonomi negara

JOHOR BAHRU: Projek Forest City mahu menarik pelaburan bertaraf global dari seluruh dunia dan bukan hanya tertumpu kepada negara tertentu sahaja.

Pengarah Eksekutif Country Garden Pacificview Sdn Bhd (CGPV), Datuk Md Othman Yusof, berkata pembangunan projek mega di atas pulau buatan itu bertujuan menjadikannya sebuah destinasi pelaburan baharu bertaraf antarabangsa.

"Apabila ia bertaraf antarabangsa, kami berusaha menarik sebanyak mungkin pelabur luar untuk melabur di sini. Jadi, tidak timbul sama sekali soal menjual negara kepada China seperti didakwa sesetengah pihak sebelum ini.

"Memang majoriti (pelabur) China yang membuat pelaburan di sini iaitu menerusi pembelian hartanah dan sebagainya, tetapi ia tidak melambangkan menjual negara.

"Ini kerana selain China, kita juga menerima pelabur dari negara lain seperti Bangladesh serta Filipina dan kami sentiasa membuka peluang pelaburan dari mana-mana negara," katanya dalam satu temu bual bersama BH, NST dan TV3 di sini.


PELAN pembangunan Forest City, Gelang Patah. - Foto Khairull Azry Bidin

Md Othman berkata, pembangunan Forest City menyediakan lebih banyak peluang dan manfaat yang bukan hanya kepada rakyat serta ekonomi Johor, malah pada masa sama kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.

"Forest City adalah satu pembangunan berterusan yang mengambil tempoh 20 hingga 30 tahun. Ia bakal menjanjikan pulangan pendapatan yang lebih pada masa depan.

"Apabila kita bercakap mengenai pulangan pendapatan yang besar, ia akan pergi (disalurkan) kepada infrastruktur seperti keperluan pendidikan dan hospital yang mana ia akan berbalik semula (bermanfaat) kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata, CGPV juga secara konsisten memasarkan Forest City ke peringkat global dan ia dilakukan menerusi pembukaan beberapa pejabatnya dan galeri di luar negara.

"Kami serius mengenai pasaran ke peringkat global kerana tidak boleh hanya menyasarkan semata-mata kepada China tetapi perlu meninjau peluang lain yang berpotensi.

"Dalam sesebuah perniagaan, kita tidak boleh boleh hanya memfokuskan kepada satu pasaran sebaliknya diperluaskan untuk terus kekal berdaya saing," katanya.

Setakat ini, katanya, selain di China, CGPV turut membuka galeri di negara lain termasuk Jepun, Vietnam dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).


PENGARAH Eksekutif Country Garden Pacificview Sdn Bhd, Datuk Md Othman Yusof. - Foto Khairull Azry Bidin

Md Othman berkata, apa yang dibangunkan di Forest City sekarang melangkaui jangkaan dan dianggap berjaya mencapai matlamat.

"Dengan tarikan Forest City, secara keseluruhan kami berjaya menarik kira-kira 160,000 pelancong dari seluruh dunia tahun lalu dan secara purata seorang membelanjakan antara RM3,000 hingga RM5,000.

"Malah, menerusi penjualan unit kediaman, sejumlah 20,000 unit sudah dijual dalam tempoh hampir dua tahun, iaitu pada 2016 dan tahun ini," katanya.

INFO

Forest City:

  • Dibangunkan di atas empat pulau buatan manusia.
  • Mula dibangunkan pada Jun 2015.
  • 42 peratus ekuiti dikuasai entiti tempatan manakala baki 58 peratus milik syarikat China.
  • Dari segi ekuiti tempatan, 20 peratus dimiliki Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd (KPRJ), iaitu anak syarikat milik penuh kerajaan Johor.
  • Akan mengubah Johor menjadi "Dubai ASEAN".
  • Dijangka wujud KDNK RM197.6 bilion dari sekarang hingga 2035.
  • Ia dijana daripada pelbagai sektor ekonomi.
  • Keseluruhan kawasan membabitkan 5,000 ekar (2,000 hektar)
  • Terdapat lapan hab iaitu pendidikan, e-dagang, pelaburan asing, pelancongan, MICE (Mesyuarat, Insentif, Konvensyen dan Pameran), perkhidmatan kewangan dan keusahawanan dan destinasi persaraan.
  • Bakal menjadi hab pengangkutan Asia Pasifik berhampiran Selat Melaka; hab ekonomi dunia yang menawarkan kelebihan peringkat tempatan, serantau dan global.
  • Diiktiraf sebagai zon bebas cukai.
Berita Harian X