Selasa, 5 Disember 2017 | 7:09pm
ERIK Wrinter (kiri) dan Hans Peter Ressel pada kempen Revolusi Online Lazada di Petaling Jaya. - Foto Amirudin Sahib
ERIK Wrinter (kiri) dan Hans Peter Ressel pada kempen Revolusi Online Lazada di Petaling Jaya. - Foto Amirudin Sahib

Lazada tawar 12 VW Beetle edisi terhad

KUALA LUMPUR: Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) menjalin kerjasama dengan Lazada Malaysia sempena kempen Revolusi Online Lazada, dengan menawarkan pembelian 12 Volkswagen Beetle edisi terhad menerusi platform beli-belah dalam talian itu.

 

Pengarah Urusan Volkswagen, Erik Winter, berkata setiap Volkswagen Beetle itu akan dijual pada harga RM112,112 dan proses pembelian hanya boleh dilakukan menerusi Lazada bermula 12 hingga 14 Disember ini.

 

Katanya, Beetle edisi terhad itu akan mempunyai dua reka bentuk iaitu "Herbie 53" bewarna Pure White dan White Silver manakala "Hot Bug" berwarna Tornado Red.

 

"Pelanggan yang berminat untuk pembelian perlu melayari Lazada dan membeli Welcome Kit ekslusif bernilai RM5,000 yang juga akan dicatatkan sebagai pembayaran tempahan.

 

"Selepas selesai proses pembelian (Welcome Kit), pelanggan akan dihubungi Volkswagen untuk memilih cawangan pengedar bagi melakukan proses dokumentasi dan melengkapkan pembelian kenderaan itu," katanya pada sidang media kempen Revolusi Online Lazada, di sini, hari ini.

 

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia, Hans-Peter Ressel.

 

Winter berkata, kerjasama antara kedua pihak itu dipercayai mampu memberi impak positif terhadap syarikat automotif dari Jerman itu di negara ini.

 

"Kita kini berada di era digital yang mana orang boleh melakukan pembelian barangan dan mendapatkan perkhidmatan menerusi dalam talian, jadi mungkin ia boleh dikembangkan dengan penjualan kereta.

 

"Kita akan lihat dulu prestasi penjualan 12 Volkswagen Beetle ini buat masa sekarang untuk menentukan sama ada idea ini boleh diteruskan pada masa akan datang atau tidak," katanya.

 

Edisi khas Beetle itu dijana enjin 1.2 liter turbo TSI dipadankan dengan transmisi automatik DSG tujuh kelajuan yang mampu menghasilkan kuasa 105PS serta tork maksimum 175Nm.

 

Selain itu, ia dilengkapi stereng pelbagai fungsi, 5.8 inci skrin sentuh berwarna dengan USB, Bluetooth dan lapan pembesar suara.

 

INFO 

- 12 kereta Volkswagen Beetle edisi terhad

- Welcome Kit disertakan rantai kunci edisi terhad Volkswagen serta kad TnG

- Jualan bermula 12 Disember hingga 14 Disember

Berita Harian X