Jumaat, 8 Disember 2017 | 8:50pm
AIRIN Zainul (kiri) dan Ben Jern Loh (kanan) pada majlis Rated xtra Parti di Kuala Lumpur. - Foto Supian Ahmad

Tonton sasar pendapatan, langganan naik 25 peratus

KUALA LUMPUR: Penyiar kandungan 'over-the-top' (OTT) Media Prima Bhd (MPB), tonton menyasarkan peningkatan pendapatan dan langganannya hingga 25 peratus pada tahun hadapan.

Pengarah tonton, Pelesenan dan Pembarangan Rangkaian Televisyen MPB, Airin Zainul, berkata pihaknya optimis dapat mencapai sasaran itu berdasarkan kerjasama strategik dan produk baharu tonton.

"Bermula Januari 2018, pelbagai produk baharu diperkenalkan seperti kandungan definisi tinggi, Smart TV, modem OTT Android dan tontonan sosial. Ini bagi memenuhi kehendak pelanggan kini yang mahukan kelebihan dalam tontonan OTT.

"Selain itu, kita juga menjalin kerjasama strategik dengan pembekal kandungan Hypp TV, dimsum dan EROS serta DiGi.

"Apa yang lebih menarik, kita juga melancarkan portal hiburan dan gaya hidup baharu dikenali sebagai xtra," katanya pada majlis Rated xtra Parti di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Datuk Kamal Khalid; Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen MPB, Johan Ishak dan Pengurus Besar tonton, Ben Jern Loh.

Airin berkata, sehingga 1 Disember lalu, tonton mencatatkan jumlah langganan sebanyak 7.55 juta dan jumlah itu disasarkan meningkat sekitar 18,000 langganan seminggu.

Beliau berkata, tonton yang menguasai pasaran OTT tempatan paling banyak ditonton juga bakal melebarkan penguasaannya ke dua atau tiga negara Asia Tenggara tahun hadapan.

"Ketika ini tonton sudah berada di Singapura dan Brunei melalui kerjasama strategik dengan pihak di sana, dan jumlah langganan yang kami terima sangat menggalakkan.

"Ketika ini 20 peratus sumbangan pendapatan dan langganan dari dua negara itu manakala 80 peratus dari pasaran tempatan.

"Berdasarkan perkara ini, kami yakin sumbangan dari pasaran luar negara dapat dipertingkatkan selepas memasuki pasaran negara Asia Tenggara yang lain," katanya.

Berita Harian X