Jumaat, 8 Disember 2017 | 10:19pm
ABDULRAHMAN Alireza pada taklimat media, di Kuala Lumpur. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

RM1.4b tingkat rangkaian McDonald's Malaysia

KUALA LUMPUR: Lionhorn Pte Ltd, pemegang Lesen Pembangunan (DL) bagi operasi McDonald's Malaysia dan Singapura melabur RM1.4 bilion untuk menyokong Visi 2025 McDonald's Malaysia.

Rakan Pengurusan bagi Singapura dan Malaysia, Abdulrahman Alireza, berkata pelaburan kewangan itu bertujuan membantu meningkatkan jumlah rangkaian McDonald's Malaysia daripada 265 pada masa ini kepada 450 di seluruh negara menjelang 2025.

"Kira-kira 10,000 pekerjaan baharu akan diwujudkan dengan pelan itu.

"Kami melihat potensi pertumbuhan bagi pasaran Malaysia dan Singapura. Kami komited dan gembira menjadi sebahagian daripada dunia ini," katanya pada taklimat media, di sini, hari ini.

Keluarga Alireza adalah antara keluarga perdagangan tertua dan dihormati di Arab Saudi, dengan Haj Abdullah Alireza Company ditubuhkan pada 1956.

DL bagi operasi McDonald's Malaysia dan Singapura diberikan kepada kumpulan Arab Saudi, Lionhorn pada 1 Disember tahun lalu.

Abdulrahman berkata, Lionhorn komited untuk memastikan McDonald's Malaysia dan Singapura terus menyediakan produk halal dalam menu.

McDonald's Malaysia kini mempunyai 12,000 pekerja di 265 restoran dan memberi perkhidmatan kepada 13.5 juta pelanggan setahun.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald's Malaysia, Azmir Jaafar, berkata perbelanjaan modal sebanyak RM120 juta telah diperuntukkan untuk tahun depan.

"50 peratus daripada perbelanjaan modal itu bagi pembukaan 14 restoran baharu, 30 peratus bagi pembentukan semula rangkaian sedia ada dan 20 peratus bagi teknologi dan pembinaan kapasiti.

"Dari sekarang hingga 2019, RM363 juta sebagai perbelanjaan modal bagi 30 restoran baharu dan pengubahsuaian atau pemodenan 80 rangkaian.

"Pertumbuhan organik dalam tempoh itu akan menyaksikan 2,000 pekerjaan baharu diwujudkan," katanya.

Azmir berkata, bagi tahun ini, McDonald's Malaysia mempunyai keupayaan untuk mencapai jualan tertinggi dalam sejarah selama 35 tahun di negara ini.

"Bagi 2017, pertumbuhan jualan sebanyak 22 peratus tahun ke tahun dijangka dan kami mengunjurkan pertumbuhan jualan yang kukuh bagi 2018 dan seterusnya," katanya. - BERNAMA

62 dibaca
Berita Harian X