Rabu, 13 Disember 2017 | 6:17pm

Malaysia Airlines, Amadeus jalin kerjasama tingkat perkhidmatan

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines menjalin kerjasama dengan peneraju teknologi pengembaraan global, Amadeus IT Group SA bagi mempertingkatkan perkhidmatan, termasuk memenuhi keperluan pelanggan secara cekap dan berkesan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines, Izham Ismail, berkata kaedah Pengurusan Pengalaman Pelanggan Amadeus adalah penyelesaian terkini bagi memahami pelanggan dan memperincikan tawaran yang merentasi semua saluran serta memaksimumkan peluang pendapatan dagangannya.

Teknologi itu, katanya, antara lain akan mengumpul data pengembara menerusi pelbagai saluran dan mewujudkan paparan gambar mereka secara perspektif 360 darjah dalam masa sebenar yang kemudiannya disepadukan dengan aspek perincian peribadi.

Ini bagi membolehkan syarikat penerbangan itu memenuhi jangkaan serta permintaan pengembara ketika melakukan satu-satu perjalanan.

"Pelaksanaan teknologi itu disifatkan sebagai antara faktor atau kelebihan bagi syarikat. Kami sudah memulakan perjalanan hebat dengan Amadeus setakat ini dan mereka adalah rakan yang menyokong usaha transformasi dan berkongsi semangat sama untuk mengutamakan pelanggan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kaedah penyelesaian itu juga, katanya, dapat membantu mempertingkatkan pendapatan dengan mengetengahkan tawaran lebih khusus dan relevan menerusi saluran dan masa yang tepat.

Pada masa sama, ia juga dapat memantapkan aspek perhubungan dengan pelanggan menerusi pendekatan lebih khusus dan proaktif, terutama pengembara setia apabila berdepan sebarang perubahan. --BERNAMA

Berita Harian X