Jumaat, 15 Disember 2017 | 2:48pm
MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Naib Pengerusi Eksekutif Eco World International, Tan Sri Liew Kee Sin menyaksikan pertukaran dokumen MoU antara Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EWI, Datuk Teow Leong Seng dan Ketua Eksekutif Kumpulan Wilmott Dixon, Rick Wilmott di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Asyraf Hamzah

EWI, Be Living bangunkan 12 projek hartanah di London

KUALA LUMPUR: Eco World International Bhd (EWI) mengadakan usaha sama dengan Be Living Holdings Ltd bagi membangunkan 12 tapak projek di Greater London dan di bahagian tenggara England dengan nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira STG2.6 bilion (kira-kira RM14 bilion).

Ia susulan kejayaan syarikat hartanah tempatan itu mengambilalih 70 peratus kepentingan dalam projek pembangunan hartanah di London berkenaan daripada Be Living, cabang perniagaan pemaju Willmott Dixon Holdings Ltd.

Projek pembangunan hartanah itu akan dilaksanakan dalam dua peringkat.

Peringkat pertama membabitkan enam projek iaitu masing-masing satu projek di Woking, Brenat dan Westminster, Barnet dan Hounslow serta dua projek di Barking dan Dagenham.

EWI menyasar untuk memuktamadkan pengambilalihan bagi membangunkan projek di peringkat pertama menjelang suku pertama tahun depan.

Bagi peringkat kedua, masih dalam peringkat perbincangan dan dijangka akan dimuktamadkan selepas itu.

Projek pembangunan peringkat kedua akan membabitkan masing-masing satu projek di Tower Hamlets, Bromley, Lambeth dan Ealing manakala dua projek di Hounslow.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EWI, Datuk Teow Leong Seng, berkata usaha sama dengan Be Living itu akan meningkatkan kehadiran syarikat di United Kingdom (UK) sehingga empat kali ganda.

Katanya, ia juga akan menambahkan kira-kira 8,200 unit kediaman dalam portfolio hartanah sedia ada syarikat sebaik sahaja pengambilalihan 12 projek itu selesai sepenuhnya.

"Dari sudut geografi dan penembusan pasaran, ia meningkatkan capaian syarikat dari Central London di mana produk kami dijual pada harga antara STG800 (RM4,381) sekaki persegi (kps) - STG1,500 kps (RM8,214) sehingga ke Greater London dan tenggara England yang harga di antara STG500-STG800 (RM2,738 - RM4,381) kps.

"Ini meluaskan spektrum harga jualan yang ditawarkan dalam portfolio projek pembangunan EWI ketika ini dan membolehkan kami untuk mengambil bahagian dalam segmen perumahan mampu milik di sini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara EWI dan Willmott Dixon di sini, hari ini.

MoU itu disaksikan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani. Turut hadir ialah Naib Pengerusi Eksekutif Eco World International, Tan Sri Liew Kee Sin.

Leong Seng berkata, EWI dijangka akan mula meraih keuntungan pada tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2018.

Ini kerana katanya, syarikat hanya boleh merekodkan keuntungan di dalam penyata kewangan mereka selepas projek pembangunan siap dibina sepenuhnya.

Katanya, ia berbeza berbanding di Malaysia yang mana syarikat dibenarkan untuk merekodkan keuntungan mengikut perkembangan projek pembangunan.

"Tahun depan, syarikat menyasarkan jualan sebanyak RM2 bilion. Jumlah ini tidak termasuk jualan dari projek usaha sama dengan Be Living," katanya.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2017, EWI merekodkan jualan sebanyak RM2 bilion masing-masing disumbangkan oleh tiga projek dari London bernilai RM1.69 bilion dan projek dari Australia (RM315 juta).

Berita Harian X