Jumaat, 15 Disember 2017 | 8:02pm

Zurich Malaysia lancar pelan Takaful Keluarga baharu

KUALA LUMPUR: Zurich Takaful Malaysia Bhd hari ini melancarkan pelan takaful terbaharunya, Executive20 yang merangkumi perlindungan takaful serta manfaat pembayaran tunai secara tahunan.

Pelan yang memberi perlindungan kepada pelanggan sehingga umur 90 tahun dengan mereka berusia 30 hari dan 65 tahun juga layak menyertainya.

"Kira-kira 50 peratus isi rumah di bandar Malaysia tidak mempunyai sebarang bentuk simpanan kewangan.

"Sehubungan itu, kami mewujudkan Executive20 sebagai pelan ideal untuk membantu mereka yang mahu menambah simpanan sambil memperoleh perlindungan secukupnya bagi sebarang kejadian tidak diingini," kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Salim Majid Zain dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, manfaat pembayaran tunai secara tahunan membabitkan tempoh perlindungan selama 20 atau 30 tahun itu akan membolehkan pelanggan memutuskan perkara yang menjadi keutamaan mereka.

Selain itu, pelan Executive20 itu memberi pilihan nilai tambah kepada pelanggan yang mahu menunaikan hasrat ibadah mereka termasuk haji badal, ibadah korban, wakaf dan amal di bawah Program Unit Amanah kendalian Amanah Raya Bhd.

Zurich Takaful adalah sebahagian Kumpulan Insurans Zurich dengan lebih 1.1 juta pemegang sijil di seluruh negara. - BERNAMA

Berita Harian X