Jumaat, 15 Disember 2017 | 8:23pm

Jualan murah ulang tahun Shopee catat 2.5j pesanan

KUALA LUMPUR: Platform e-Dagang terkemuka di Asia Tenggara dan Taiwan, Shopee mencatat lebih 2.5 juta bilangan pesanan dalam tempoh 24 jam pada 12 Disember lalu sempena jualan ulang tahunnya, lonjakan 5 kali ganda berbanding prestasi tahun lepas.

Pengarah Urusan Serantau Shopee, Ian Ho berkata, di Malaysia, lebih 500,000 produk terjual apabila pengguna berebut bagi mendapatkan pelbagai promosi hebat ke atas 6 juta produk, sebagai sebahagian daripada jualan murah ulang tahun Shopee.

"Jualan Murah 12.12, jualan kilat Shocking Sale dan Kemuncak Berganda Shopee Mall yang diberi keutamaan sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun Shopee menerima sambutan yang amat menggalakkan.

"Kami teruja dapat bekerjasama dengan jenama terkemuka termasuk PETRONAS, Digi, Havaianas dan MR. DIY yang menyumbang pada kejayaan kempen ulang tahun kali ini.

"Jenama tersebut adalah antara jenama yang telah memilih Shopee sebagai rakan e-Dagang pertama mereka dan kebanyakannya telah mencatatkan peningkatan tinggi dalam jualan dengan lonjakan sehingga 100 kali ganda berbanding hari biasa.

"Kami berharap dapat meneruskan usahasama seperti ini pada kempen dan promosi akan datang," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, Ho berkata, walaupun jualan murah 12.12 telah berakhir, pengguna masih berpeluang memenangi percutian untuk dua orang ke Honolulu, Hawaii bernilai lebih RM15,000 dan sebuah iPhone X bernilai RM5,500 sebagai sebahagian daripada hadiah sempena ulang tahun Shopee yang akan diteruskan sehingga 31 Disember 2017.

Untuk melayakkan diri, pengguna perlu membelanjakan sekurang-kurangnya RM100 dan membuat pembayaran secara perbankan dalam talian FPX.

Info

Jualan Murah 12.12 Shopee Malaysia

1. Jumlah pesanan sepanjang 12.12 tahun ini meningkat 15 kali ganda berbanding tahun lepas

2. Dalam tempoh hanya 1 jam 6 minit sahaja, berjaya memecahkan rekod bilangan pesanan tahun lepas

3. Jenama yang menunjukkan prestasi jualan terbaik ialah e-Kedai Mesra PETRONAS, Nestle dan Watsons

4. Sementara itu, bagi satu jenis produk, kad Mesra PETRONAS mencatatkan rekod tertinggi dengan lebih daripada 3,100 unit terjual dalam tempoh 24 jam

5. Transaksi paling tinggi direkodkan daripada seorang pengguna berjumlah RM15,000

6. Produk pertama dijual pada 12.12 ialah sebuah beg jenis kanvas, manakala produk terakhir dijual ialah bank kuasa

7. Masker wajah adalah produk rebutan kaum wanita dengan kira-kira 7,000 unit masker wajah terjual. ROREC adalah antara jenama kecantikan yang sangat popular dengan lebih 700 unit masker wajah Natural Essence ROREC terjual dalam masa 1 minit

8. Kabel data adalah produk yang menjadi pilihan pengguna lelaki dengan lebih 1,200 unit terjual

9. Tempoh paling cepat untuk menghabiskan jualan kilat ialah 49 saat menerusi jualan kilat Shocking Sale Shopee

10. Pembelian paling pantas diselesaikan dalam tempoh 1 saat iaitu sepasang baju tidur sutera yang dijual pada harga RM20

11. Penghantaran paling jauh bagi satu pesanan ialah lebih 4,500 km - dari Goseong Gun, Korea ke Johor Bahru, Johor

12. Secara purata, 538 borak (chat) direkod setiap minit

Berita Harian X