Selasa, 19 Disember 2017 | 9:07pm

Lazada raih jualan RM1 bilion

KUALA LUMPUR: Lazada Malaysia bersama Lazada Group meraih AS$250 juta (RM1.020 bilion) dalam nilai dagangan kasar (GMV) untuk Jualan Akhir Besar-Besaran 12.12 yang diadakan seiring kempen Revolusi Dalam Talian syarikat itu, baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Lazada Malaysia berkata, angka jualan itu lebih dua kali ganda daripada yang dicapai pada tahun sebelumnya dan mengatasi rekod jualan 11.11 sebanyak AS$123 juta (RM501 juta).

"Prestasi yang memecah rekod syarikat dalam kempen Revolusi Dalam Talian menunjukkan kepercayaan dan relevan e-dagang yang semakin meningkat di Malaysia.

"Ini juga menunjukkan bagaimana ia akan terus memberi manfaat kepada pengguna Malaysia, termasuk keseluruhan ekosistem e-dagang, " kata Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia, Hans-Peter Ressel.

Beliau berkata, jualan 12.12 menyaksikan lebih banyak pembelian dicatat dari kawasan luar Kuala Lumpur seperti Kangar, Lundu, Tawau dan Kota Kinabalu.

Diperkenalkan pada 12 Disember 2012, Revolusi Online Lazada bertujuan menggalakkan pengguna menikmati kemudahan dan nilai membeli-belah dalam talian.

Lebih 135,000 penjual tempatan dan antarabangsa dengan 3,000 jenama, menyertai kempen e-dagang berkenaan. - BERNAMA

Berita Harian X