Khamis, 28 Disember 2017 | 3:22pm

QLASSIC menjamin kualiti hasil kerja binaan

Sistem Penilaian Kualiti dalam Pembinaan (QLASSIC) adalah sistem atau kaedah untuk mengukur dan menilai kualiti hasil kerja pembinaan bangunan berasaskan Standard Industri Pembinaan (CIS 7).

Sistem yang diwujudkan pada 2007 itu membolehkan kualiti hasil kerja pembinaan antara projek pembinaan dibandingkan secara objektif melalui sistem pemarkahan.

Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) berkata, QLASSIC diwujudkan selepas CIDB menyedari keperluan untuk mewujudkan standard khusus bagi industri pembinaan dalam memastikan penggiat industri mempunyai satu tanda aras tertentu untuk dipatuhi.

"Pada 2005, CIDB mewujudkan sebuah jawatankuasa teknikal yang terdiri daripada penggiat industri dan sektor awam dan swasta, termasuk persatuan industri pembinaan yang berkaitan serta ahli akademik.

"Berdasarkan perbincangan, amalan global serta kajian kes di Malaysia, jawatankuasa mewujudkan Standard Industri Pembinaan (CIS 7) yang menyediakan garis panduan bagi kualiti hasil kerja pembinaan bangunan," katanya.

Menurut CIDB, QLASSIC menetapkan standard bagi kualiti hasil kerja pembinaan dan kualiti hasil kerja pembinaan dinilai menerusi elemen standard yang ditetapkan. Bagaimanapun, penggunaan CIS 7 adalah secara sukarela.

Ambil tindakan

"Sebagai pembeli, orang awam berhak untuk mendapat kualiti hasil kerja pembinaan yang berkualiti tinggi bagi hartanah mereka.

"Menerusi pendidikan dan kesedaran yang diwujudkan kepada orang awam mengenai QLASSIC, kami berharap orang awam dapat memainkan peranan dalam meminta penilaian QLASSIC dijalankan apabila projek pembinaan hartanah mereka siap," katanya.

Penggunaan QLASSIC membantu pemaju memperoleh kepercayaan orang awam sebagai pemaju yang mempunyai kredibiliti dan boleh dipercayai.

Ia menjadikan pemaju sentiasa berhati-hati dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka berdasarkan prinsip "Do Things Right the First Time and Every Time".

Penarafan yang baik di bawah QLASSIC membabitkan kerja pembinaan yang mencapai skor 75 dan ke atas.

Matlamat Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) adalah untuk mencapai lebih daripada 50 peratus projek awam mengatasi skor 70 QLASSIC.

Menurut CIDB, sehingga kini, sebanyak 449 projek sudah dinilai menggunakan QLASSIC dan 63 peratus (%) atau 281 projek mencapai lebih 70% skor QLASSIC.

CIDB menjangkakan peningkatan dalam skor QLASSIC dari tahun ke tahun, yang melambangkan kemajuan dan penambahbaikan dalam kualiti hasil kerja pembinaan.

Tingkat bilangan PKK, PTB

Sementara itu, kualiti, keselamatan dan profesionalisme adalah prasyarat utama transformasi industri pembinaan negara ke arah industri yang lebih bertanggungjawab.

Menurut CIDB, antara cara paling berkesan untuk meningkatkan keselamatan di tapak binaan adalah dengan meningkatkan bilangan PKK dan PTB.

"Sejak 2016 hingga Jun 2017, CIDB sudah melatih seramai 824 pegawai keselamatan pekerja (PKK) dan 1,350 penyelia tapak bina (PTB).

"Dua kajian sedang dijalankan bagi meningkatkan prestasi keselamatan sektor pembinaan.

"Kajian pertama adalah mengenai keberkesanan undang-undang dan peraturan sedia ada dalam menangani isu keselamatan dan kesihatan di tapak pembinaan, manakala kajian kedua berkaitan kaedah paling berkesan untuk meningkatkan tahap keselamatan," katanya.

CIDB berkata, bagi meningkatkan kesihatan dan keselamatan pekerja, keadaan kehidupan pekerja pembinaan perlu dipertingkatkan.

"Kami bekerjasama rapat dengan Jabatan Standard Malaysia dalam menerbitkan MS2593:2015 - Malaysia Standard for Temporary Construction Site Worker's Amenities and Accommodation.

"CIDB juga bekerjasama dengan Jabatan Tenaga kerja dalam memastikan rang undang-undang Penginapan Pekerja 2017 diselaraskan dengan MS2593:2015," katanya.

Selain itu, CIDB juga menubuhkan Construction Labour Exchange Centre Berhad (CLAB), sebuah organisasi yang menguruskan proses membawa masuk dan mengagihkan tenaga kerja pembinaan asing bagi menangi isu pertumbuhan industri pembinaan dan peningkatan kemasukan pekerja asing ke Malaysia.

INFO

Proses pelaksanaan penilaian QLASSIC

  • Pemohonan kepada CIDB
  • Skop Penilaian
  • Sampel oleh Penilai
  • Penilaian di tapak
  • Skor QLASSIC (%)

Kategori bangunan yang dinilai menggunakan QLASSIC

  • Kategori A (Setingkat)
  • Kategori B (Bertingkat)
  • Kategori C (Bangunan awam, komersial, industri tanpa sistem pendingin hawa berpusat)
  • Berita Harian X