Selasa, 2 Januari 2018 | 5:11pm

Jualan Hyundai, Kia diunjur berkembang sederhana

SEOUL: Jualan kenderaan pengeluar dari Korea Selatan, Hyundai Motor dan Kia Motors dijangka meningkat empat peratus tahun ini.

Ia mencerminkan pemulihan perlahan daripada kemerosotan yang berpunca daripada kurangnya model kenderaan utiliti sukan (SUV) kedua-dua jenama itu di Amerika Syarikat (AS), selain ketegangan diplomatik bersama China.

Hyundai dan syarikat sekutunya yang lebih kecil, Kia berkata permintaan dijangka perlahan di pasaran AS dan China selepas mereka mengumumkan gabungan sasaran jualan sebanyak 7.55 juta kenderaan tahun ini, berbanding 7.25 juta kenderaan tahun lalu.

"Persekitaran pasaran dijangka menjadi sukar berikutan kelembapan dalam pasaran utama seperti AS dan China, pertumbuhan rendah yang berpanjangan dalam ekonomi global dan perlindungan dagangan dalam negara besar," kata Hyundai Motor dalam satu kenyataan.

Jualan merosot sebanyak tujuh peratus pada tahun lalu berbanding tahun 2016 dan gagal mencapai sasaran syarikat berkenaan iaitu sebanyak 8.25 juta kenderaan.

Ia juga kali ketiga berturut-turut syarikat berkenaan gagal mencapai sasaran tahunan yang disasarkan berikutan pembeli di China dan AS yang memilih SUV berbanding sedan.

Ketegangan diplomatik antara China dan Korea Selatan yang berlaku selepas Seoul menggunakan sistem pertahanan peluru berpandu AS juga memberi kesan kepada jualan pengeluar kereta itu.

"Sasaran tahun ini bagi Hyundai dan Kia adalah lebih rendah daripada jangkaan. Ia kelihatan seperti sasaran konservatif dan mencerminkan pemulihan perlahan yang sedang berlaku di China dan kesukaran berterusan di AS," kata penganalisis di Korea Investment & Securities, Kim Jin-woo.

Saham Hyundai Motor susut 4.2 peratus pada dagangan hari ini dan saham Kia Motors ditutup 2.1 peratus lebih rendah. - Reuters

Berita Harian X