Jumaat, 26 Januari 2018 | 5:10pm

Cypark peroleh kontrak loji fotovoltan solar

KUALA LUMPUR: Cypark Resources Bhd (Cypark Resources) memperoleh kontrak bernilai RM260.51 juta daripada Cove Suria Sdn Bhd (CSSB).

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata kontrak pertama membabitkan kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC) loji fotovoltan solar berskala besar 30MWa.c di Empangan Kelinchi, Negeri Sembilan.

"Kontrak itu bertempoh 24 bulan dari tarikh pemberitahuan permulaan kerja-kerja EPCC yang ditetapkan oleh CSSB," katanya.

Cypark Resources berkata, kontrak kedua membabitkan operasi dan penyenggaraan loji fotovoltan solar berkenaan.

Operasi dan penyenggaraan loji itu akan dilaksanakan selama 21 tahun dari tarikh operasi komersial yang akan disahkan oleh Tenaga Nasional Bhd.

"Kontrak bagi semua kerja-kerja itu dijangka menyumbang secara positif kepada perolehan syarikat dan tidak akan menjejaskan modal saham atau pegangan saham oleh pemegang saham utama," katanya. - BERNAMA

22 dibaca
Berita Harian X