Isnin, 5 Februari 2018 | 5:44pm
KETUA Divisyen Perniagaan Runcit PDB, Aadrin Azly. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
KETUA Divisyen Perniagaan Runcit PDB, Aadrin Azly. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Perlindungan insurans serendah RM1 sebulan

KUALA LUMPUR: Petronas Dagangan Bhd (PDB), Shieldcard Holdings Sdn Bhd dan Zurich General Insurance Malaysia Bhd (ZGIMB) menjalinkan kerjasama strategik menawarkan faedah Kemalangan Diri Mesra (PA) eksklusif untuk pemegang kad Mesra.

Menerusi kerjasama itu, pemegang kad boleh menikmati Pelan PA Mesra yang memberi manfaat Bayaran Hospital Harian sebanyak RM50 sehari untuk maksimum 30 hari dan pampasan wang tunai sehingga RM50,000 membabitkan kematian atau hilang upaya diri, dengan hanya RM1 sebulan.

Ketua Divisyen Perniagaan Runcit PDB, Aadrin Azly, berkata kerjasama itu adalah hasil pemerhatian syarikatnya terhadap keperluan pelanggan bagi meningkatkan faedah terhadap program kesetiaan termasuk perkara penting seperti perlindungan insurans.

"Melalui pembabitan kami dalam perniagaan yang menyediakan bahan api, keselamatan jalan raya menjadi keutamaan kami.

"Kami berharap pelanggan akan mengambil kesempatan ini untuk membolehkan mereka mendapatkan perlindungan insurans hanya serendah RM1 sebulan," katanya pada majlis memeterai perjanjian itu di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Eksekutif Shieldcard Holdings, Tunku Naquiyuddin Tuanku Jaafar dan Ketua Eksekutif ZGIMB, David Fike.

Pemegang kad Mesra boleh menikmati Pelan PA Mesra dengan hanya RM1 (100 mata ganjaran Mesra) sebulan, apabila berbelanja minima RM100 sebulan di mana-mana stesen PETRONAS seluruh negara.

Perlindungan 24 jam seminggu di seluruh dunia itu memberikan pemegang kad manfaat Bayaran Hospital Harian.

Bagi kes membabitkan kemalangan atau hilang upaya diri, pemegang kad Mesra yang terbabit kemalangan, keluarga dan waris terdekat layak menerima pampasan wang tunai sehingga RM25,000 dan boleh meningkat sehingga RM50,000 jika kemalangan berlaku pada hari cuti am yang diwartakan kerajaan.

Sebagai tambahan, pemegang kad juga secara automatik didaftarkan untuk program AXXESS secara percuma yang mana mata ganjarannya boleh diperoleh di rangkaian perniagaan yang mengambil bahagian.

Ia pada masa sama dapat membantu mengurangkan atau membayar secara penuh premium kenderaan motor tahunan pemegang kad.

Program AXXESS yang beroperasi pada Ogos 2017, bermatlamat meningkatkan daya perbelanjaan harian seseorang dengan menyediakan penyelesaian terhadap kos insurans yang semakin meningkat terutama kos dalam penjagaan kesihatan awam dan ketidaktentuan premium insurans kenderaan motor berikutan liberalisasi tarif.

Sementara itu Aadrin ketika ditemui berkata, setakat ini, terdapat tujuh juta pemegang kad Mesra di seluruh negara dan ia dijangka akan bertambah menerusi penawaran produk terbaharu ini.

Info:

- Pemegang kad Mesra akan menerima SMS atau emel daripada Petronas mengenai faedah berkenaan.

- Pemegang kad yang mendaftar sebelum 28 Februari 2018 akan menerima faedah PA percuma untuk bulan pertama

Berita Harian X