Selasa, 6 Februari 2018 | 5:21pm
PENGERUSI Eksekutif i-Berhad, Tan Sri Lim Kim Hong (tiga kanan); Timbalan Pengerusi I-Bhd, Datuk Eu Hong Chew (kanan) bersama Ketua Pegawai Operasi CPN Thailand, Pakorn Partanapat (tengah); Ketua Pegawai Operasi CPN Malaysia, Anthony Dylan (tiga dari kiri); Pengerusi Kumpulan Sogo, Datuk Mohamed Khadar Merica (dua dari kiri); Pengarah Eksekutif Village Grocer, Ivan Tan (dua dari kanan); Pengurus Besar TGV Pictures, Chung Shyh Kwong (kiri) pada majlis pengumuman penyewa utama i-City dekat Shah Alam, hari ini. - Foto Faiz Anuar

Central i-City umum penyewa utama

SHAH ALAM: Central Pattana Public Company Ltd (CPN), pemaju peruncit terbesar Thailand, mengumumkan Sogo Department Store, Village Grocer dan TGV Cinemas sebagai penyewa utama bagi pusat beli-belah serantau antarabangsa pertamanya, Central i-City di sini.

Ketua Pegawai Operasi CPN Thailand, Pakorn Partanapat berkata projek mega itu disifatkan sebagai langkah pertama firma berkenaan menjadi peneraju dalam pembangunan pusat beli-belah serantau.

"Projek bernilai RM850 juta ini dijangka mentransformasikan industri peruncitan tempatan dan pengalaman membeli-belah rakyat Malaysia dengan menggabungkan dua budaya iaitu layanan yang baik di Thailand dan kemesraan di Malaysia," katanya pada majlis pengumuman penyewa utama i-City dekat sini, hari ini.

Turut hadir, Naib Pengerusi I-Bhd, Datuk Eu Hong Chew dan Ketua Pegawai Operasi CPN Malaysia, Anthony Dylan.

Sementara itu, Hong Chew berkata, pembukaan pusat belah-belah terulung di Shah Alam itu menjadi satu lagi daya tarikan kepada komponen pelancongan yang dirancang di bawah pembangunan bercampur i-City.

Katanya, bandaraya Shah Alam akan dikenali sebagai hab pusat-beli belah serantau apabila Central i-City dibuka kepada orang awam menjelang akhir tahun ini.

"I-Bhd sangat gembira kerana dipilih sebagai destinasi pelaburan pertama di luar Thailand dan projek ini sudah tentu menjadi antara pelan pelancongan ikonik negara," katanya.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, pusat beli-belah dengan keluasan 940,000 kaki persegi itu akan menempatkan 350 kedai dengan tiga tingkat tempat letak kenderaan dan enam tingkat ruang runcit.

"Central i-City pastikannya akan menjadi pusat tumpuan dan pilihan destinasi bagi komuniti di Klang, Shah Alam dan sekitarnya untuk membeli-belah, berhibur dan menikmati makanan," katanya.

Central i-City, kerjasama sepenuhnya antara CPN dan i-City Properties Sdn Bhd (ICP), dijangka beroperasi menjelang suku keempat 2018.Sogo Department Store yang berkeluasan 200,000 kaki persegi dengan empat tingkat itu adalah yang pertama di luar Kuala Lumpur.

Village Grocer di dalam pusat beli-belah ini akan menampilkan 40,000 kaki persegi ruang runcit, pertama dan terbesar di Klang dan Shah Alam sementara TGV Cinemas akan menempatkan pawagam IMAX yang pertama di daerah berkenaan.

Ia menawarkan lapan pawagam digital untuk memenuhi kapasiti penonton seramai 1,800 pengunjung.

Info

Berita Harian X