Rabu, 14 Februari 2018 | 3:45pm

Serba Dinamik peroleh projek baharu bernilai RM830.8 juta

KUALA LUMPUR: Serba Dinamik Holdings Bhd (Serba Dinamik), penyedia perkhidmatan kejuruteraan bersepadu global, memperoleh tujuh kontrak kerja bernilai RM830.9 juta.

Tujuh kontrak berkenaan diperoleh menerusi kedua-dua anak syarikat milik penuhnya, Dinamik International Limited (SDIL) dan Serba Dinamik Sdn Bhd (SDSB).

SDSB memperoleh dua kontrak baharu kejuruteraan, pemilikan, pembinaan dan pelaksanaan (EPCC) dan empat kontrak baharu operasi dan penyelenggaraan (O&M) daripada Maju Renewable Energy Sdn Bhd, Maju RE (Talang) Sdn Bhd dan Maju RE (Temenggor) Sdn Bhd, Green & Smart Sdn Bhd, Asean Bintulu Fertilizer Sdn Bhd, Petronas Dagangan Bhd serta Petronas Chemicals LDPE Sdn Bhd.

SDIL pula memperoleh satu kontrak O&M baharu daripada Chevron Indonesia.

Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pengarah Eksekutif Kumpulan Serba Dinamik, Datuk Dr Ir Mohd Abdul Karim Abdullah, berkata pihaknya amat menghargai keyakinan berterusan yang diterima daripada pelanggan baharu.

"Dengan beberapa projek baharu yang diperoleh, ia membolehkan kumpulan mempunyai projek sehingga 2041 dan ini akan mengukuhkan prestasi kewangan kami.

"Kami jangka kontrak berkenaan akan menyumbang secara positif kepada perolehan kumpulan, di samping mengukuhkan pendapatan bagi tahun kewangan 2018," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

44 dibaca
Berita Harian X