Khamis, 22 Februari 2018 | 8:13pm

MPB dalam landasan menjadi peneraju kandungan digital

KUALA LUMPUR: Media Prima Bhd (MPB) yakin hasil daripada inisiatif strategik yang dilaksanakan pada tahun 2017 akan memacu transformasi kumpulan media bersepadu itu sebagai syarikat peneraju kandungan 'digital-first' dan perdagangan.

Ia dikukuhkan lagi dengan catatan peningkatan 89 peratus dalam keseluruhan pendapatan perdagangan dan digitalnya dalam tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017.

Dalam tempoh itu, MPB mencatat pendapatan RM193 juta dalam digital dan perdagangan, didorong peningkatan permintaan pengiklanan digital; pertambahan populariti kandungan digital serta pertumbuhan e-dagang dalam kalangan pengguna.

Kumpulan media bersepadu terbesar di Malaysia itu menceburi perniagaan berasaskan digital dan pengguna yang menjadi pelengkap kepada segmen media tradisional menerusi pelan transformasi perniagaan 'Odyssey', yang dilaksanakan pada 2016.

Pelan itu membolehkan kumpulan menjana pendapatan baharu dan mengekalkan aliran pendapatan menerusi keseluruhan platform media termasuk televisyen, percetakan, radio, pengiklanan luar rumah, penciptaan kandungan dan digital.

Antara inisiatif perniagaan baharu yang menunjukkan prestasi baik pada tahun kewangan 2017 termasuk CJ Wow Shop yang terus meraih pertumbuhan dengan jumlah asas pelanggan seramai 640,000 orang dan jualan keseluruhan RM130 juta tahun lalu.

Portal pendidikan kumpulan, FullAMark, mencecah lebih 5,000 pelanggan dengan 52 peratus kadar penukaran daripada pelanggan berdaftar kepada pelanggan berbayar, peningkatan yang signifikan daripada 15 peratus kadar penukaran pada 2016.

Peningkatan mendadak dalam capaian digital turut disumbangkan oleh pelaksanaan strategi 'digital-first' dalam operasi MPB.

Strategi itu memberi manfaat kepada The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP) apabila syarikat mensasarkan untuk mengambil kesempatan terhadap pertumbuhan permintaan bagi kandungan berita digital.

Menurut data daripada Comscore Inc, portal berita dalam talian NSTP adalah peneraju industri di Malaysia dengan setakat Disember 2017, laman web Harian Metro menduduki kedudukan teratas dengan 4.7 juta pengunjung unik manakala BH di kedudukan kedua dengan jumlah 3.9 juta pengunjung unik pada setiap bulan.

Laman web New Straits Times mencatat 1.3 juta pengunjung unik setiap bulan pada tahun lalu.

Pengerusi MPB, Tan Sri Ismee Ismail, berkata pihaknya berpuas hati dengan keputusan memberangsangkan menerusi usaha transformasi yang dijalankan dan mencapai banyak sasaran dalam tahun kewangan 2017 mendahului jadual yang ditetapkan.

"Kami akan kekal fokus dalam mengasah kelebihan kompetitif dalam landskap media digital dan pada masa sama memantau rapat segmen media tradisional.

"Menuju ke hadapan, kami akan terus membuat pelaburan strategik dan bersikap berhati-hati dalam meningkatkan nilai pemegang saham dalam jangka panjang," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan MPB, Datuk Kamal Khalid, berkata pencapaian kumpulan setakat ini berlandaskan kejayaan pelan transformasi dan menyuntik keyakinan dalam masa depan Media Prima.

Katanya, tahun lalu, kumpulan terus mendominasi ruang digital dengan kandungan yang memenangi anugerah dan percaya pihaknya telah meletakkan asas yang diperlukan untuk terus berkembang.

"Kami memacu pelan transformasi perniagaan 2017 dalam usaha menjadi organisasi media yang dilengkapi untuk menerokai peluang dan berdepan cabaran dalam era baharu yang didominasi media digital.

"Keputusan menunjukkan kami tidak berjaya sepenuhnya untuk mengatasinya namun begitu kami masih berjaya bangkit hasil daripada daya usaha yang telah diambil.

"Kami akan mengambil peluang untuk melakukan perubahan yang sepatutnya dan berurusan dengan aset legasi dan amalan supaya kita dapat memenuhi visi untuk menjadi peneraju syarikat kandungan 'digital-first' dan perdagangan.

"Kami akan terus mencari peluang baharu untuk meluaskan kekuatan jenama media tradisional dalam memenuhi trend perubahan pengguna dan pada masa sama mengambil kesempatan terhadap permintaan kepada produk digital," katanya.

MPB mencatatkan pendapatan RM1.195 bilion dan merekodkan kerugian RM669.6 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017.

Berita Harian X