Khamis, 29 March 2018 | 8:05pm
TAN Sri Dr Mohd Khamil Jamil. - Foto Roslin Mat Tahir

Mohd Khamil bersara Pengerusi DRB-Hicom

SHAH ALAM: DRB-Hicom Bhd (DRB-Hicom) mengumumkan persaraan Tan Sri Dr Mohd Khamil Jamil sebagai Pengerusi Bukan Eksekutifnya, berkuat-kuasa 1 April ini.

Mengulas mengenai pengumuman itu, Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom, Syed Faisal Albar, berkata Mohd Khamil dilantik sebagai Pengarah Urusan Kumpulan itu selama 10 tahun sebelum memegang jawatan Pengerusi Bukan Eksekutif pada 1 Mac 2016.

"Beliau adalah tonggak utama dalam kumpulan DRB-Hicom. Di bawah pimpinannya, beliau berjaya mengembangkan perniagaan kumpulan dengan memberi tumpuan terhadap sektor yang berpotensi.

"Pandangan jauhnya menyaksikan pengambilalihan kumpulan dalam sektor pos dan logistik iaitu Pos Malaysia Bhd dan Pos Logistics Bhd. Visi itu dibuktikan oleh pertumbuhan e-Dagang pada masa kini yang mana ia memberi manfaat kepada Pos Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

DRB-Hicom turut menceburi sektor Aeroangkasa menerusi pengambilalihan Composites Technology Research Malaysia Sdn Bhd (CTRM) yang mana tempahan meningkat daripada RM2 bilion kepada RM11 bilion di bawah pengawasan beliau.

Selain itu, di bawah pimpinan Mohd Khamil sebagai Pengerusi, DRB-Hicom juga berjaya untuk menamatkan pencarian rakan strategik perniagaan PROTON yang sesuai, iaitu Zhejiang Geely Holdings.

"Ahli Lembaga Pengarah DRB-Hicom dan syarikat bersama serta warga kerja ingin mengucapkan terima kasih terhadap sumbangan Tan Sri (Mohd Khamil) kepada DRB-Hicom," katanya.

Mengulas lanjut, katanya, syarikat berkenaan akan mencari calon yang sesuai untuk menggantikan beliau sebagai pengerusi kumpulan.

49 dibaca
Berita Harian X