Selasa, 10 April 2018 | 7:55pm
PENGARAH Urusan Kwasa Land, Datuk Mohd Lotfy Mohd Noh

TSR Development akan bangunkan projek kediaman di Kwasa Damansara

KUALA LUMPUR: Kwasa Land Sdn Bhd (Kwasa Land) menerusi anak syarikatnya Kwasa Development Sdn Bhd (Kwasa Development), memeterai perjanjian dengan pemaju Bumiputera TSR Development Sdn Bhd, anak syarikat TSR Capital Bhd, bagi membangunkan kawasan seluas 2.63 hektar di Plot R3-3 di Kwasa Damansara.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pengarah Urusan Kwasa Land, Datuk Mohd Lotfy Mohd Noh, berkata cadangan pembangunan projek itu akan meliputi 260 unit kediaman 'link villa', villa kluster, villa eksklusif, villa bandar dan kondominium,

Katanya, projek itu dijangka akan menjana Nilai Pembangunan Kasar sebanyak RM295 juta untuk tempoh enam tahun pembangunan pada 2024.

"Usaha sama ini membuktikan komitmen Kwasa Land sebagai pemaju utama yang sentiasa memberi peluang untuk bekerjasama dengan pemaju dari pelbagai peringkat.

"Ia juga menunjukkan kami sentiasa memberi merit kepada pemaju berkelayakan dan sedia berkongsi aspirasi untuk menjadikan Kwasa Damansara sebagai perbandaran bagi bagi generasi seterusnya," katanya.

Perjanjian ditandatangani oleh beliau yang mewakili Kwasa Development manakala TSR Development Sdn Bhd diwakili Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Operasi TSR Capital Bhd, Datuk Wan Abd Razak Ismail.

Majlis menandatangani perjanjian itu turut disaksikan oleh Pengerusi Kwasa Land, Tan Sri Samsudin Osman dan Pengarah Eksekutif TSR Capital Bhd, Tengku Datuk Mustapha Tengku Mohamed.

Menurut kenyataan itu, TSR Capital Bhd dipilih daripada 14 pemaju Bumiputera yang dijemput membida plot terbabit melalui proses permohonan cadangan dan diikuti dengan proses penilaian membabitkan perkara kewangan dan teknikal yang dikemukakan

"Menerusi perjanjian itu, Kwasa Land bakal memperoleh sebanyak RM58.94 juta daripada nilai hak pembangunan dan perkongsian pulangan daripada TSR Capital Bhd," katanya.

Plot R3-3 mempunyai kebolehcapaian untuk ke taman berkeluasan 16.99 hektar, iaitu taman terbesar di Kwasa Damansara yang juga merangkumi tasik seluas 5.5 hektar.

Plot R3-3 terletak di Tenggara dari pembangunan utama pusat bandar dan berdekatan dengan dua stesen MRT dalam jarak 2.0 kilometer radius.

Berita Harian X