Isnin, 7 Mei 2018 | 12:34pm

Untung bersih OCBC Al-Amin naik 27 peratus

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih OCBC Al-Amin Bank Bhd naik 27 peratus kepada RM192 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017 berbanding RM151 juta dicatatkan pada 2016.

Dengan pencapaian itu, anak syarikat perbankan Islam milik penuh OCBC Bank (Malaysia) Bhd itu melonjakkan keuntungan bersihnya lebih 11 kali ganda sejak tahun operasi penuh pertama, apabila mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM17 juta pada 2009.

Keuntungan sebelum cukai meningkat 33 peratus kepada RM253 juta pada tahun kewangan 2017 berbanding RM191 juta sebelum ini.

Dalam kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif Syed Abdull Aziz Syed Kechik, berkata pertumbuhan keuntungan yang kukuh pada 2017 disebabkan pendapatan berasaskan yuran yang sebahagian besarnya daripada segmen pengurusan kekayaan dan perbankan pelaburan patuh Shariah yang lebih tinggi, pendapatan kukuh daripada perbankan perniagaan, pengurusan kos secara berkesan dan peruntukan yang lebih rendah.

"Kami terus melabur untuk menghasilkan rangkaian tawaran produk yang kukuh, terutamanya dalam bidang pengurusan kekayaan patuh Shariah dan pinjaman perumahan dan kami gembira melihat hasilnya," katanya.

Mengenai masa depan, katanya OCBC Al-Amin akan terus membina kapasiti dalam segmen perbankan Islam borong dan runcit, dan mengukuhkan rangkaian saluran pengedarannya yang mantap untuk mendapatkan pelanggan baharu dan menawarkan penyelesaian inovatif kepada pelanggan sedia ada dan baharu.

"Kami adalah antara dua bank Islam asing terulung di negara ini dan kami akan berusaha untuk terus melangkah maju pada 2018," katanya. -BERNAMA

Berita Harian X