Rabu, 23 Mei 2018 | 9:20pm

Untung bersih Paramount meningkat kepada RM13.18 juta

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Paramount Corporation Bhd meningkat kepada RM13.18 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2018 berbanding RM11.96 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

Perolehannya menokok kepada RM162.25 juta daripada RM144.1 juta, didorong oleh sumbangan lebih tinggi daripada unit pendidikannya yang membantu menampung penyusutan perolehan bahagian hartanah.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Paramount, Jeffrey Chew, berkata entiti pendidikan kumpulan itu mencatat prestasi yang memuaskan walaupun berdepan persaingan sengit dalam industri tersebut.

"Seiring dengan peranan sebagai penyedia pendidikan terbesar, kita akan terus mengekalkan tumpuan terhadap usaha menyediakan pendidikan berkualiti pada harga berbeza bagi menepati keperluan dan kemampuan daripada peringkat prasekolah sehinggalah tertiari," katanya.

Perolehan Paramount Education yang merangkumi Sri KDU, R.E.A.L dan perniagaan tertiari KDU mencatat peningkatan 74 peratus kepada RM70.8 juta bagi suku di bawah kajian berbanding RM40.8 juta bagi tempoh sama tahun lepas.

Perolehan perniagaan hartanah kumpulan itu susut 11 peratus kepada RM91.4 juta berikutan sumbangan aktiviti pembinaan yang lebih rendah.

Namun, Chew sebaliknya kekal positif terhadap prospek sektor hartanah.

Menurutnya, sentimen terhadap hartanah kekal positif walaupun pertumbuhan pasarannya kekal perlahan namun stabuk.

Ini dipacu oleh sektor perumahan pertengahan sebagaimana dibuktikan menerusi jualan kukuh Paramount Property bagi tahun kewangan 2017 membabitkan projek seperti Utropolis Batu Kawan di Glenmarie dan Greenwoods Salak Perdana, katanya. - BERNAMA

Berita Harian X