Isnin, 25 Jun 2018 | 12:13pm
KETUA Eksekutif OCBC Bank, Datuk Ong Eng Bin. - Foto Shiraz Ali

OCBC guna platform Fundaztic bantu PKS

KUALA LUMPUR: OCBC Bank (Malaysia) Bhd (OCBC Bank) dan Peoplender Sdn Bhd (Peoplender) memeterai perjanjian usaha sama untuk meningkatkan capaian pembiayaan bagi perniagaan mikro, kecil dan baharu.

Ia akan dilaksanakan menerusi platform pembiayaan rakan-ke-rakan milik penuh Peoplender iaitu Fundaztic.com, yang memegang lesen daripada Suruhanjaya Sekuriti.

Perjanjian berkenaan menyaksikan OCBC Bank akan merujuk Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) berdaya maju kepada Peoplender untuk mendapatkan pilihan pembiayaan lebih luas serta memantapkan dan menyokong pertumbuhan perniagaan mereka.

Ketua Eksekutif OCBC Bank, Datuk Ong Eng Bin, berkata perjanjian berkenaan adalah kerjasama yang bermakna kepada PKS yang berdaya maju tetapi sukar melayakkan diri bagi pinjaman bank biasa.

"Gabungan perniagaan mikro, kecil dan baharu membentuk kelompok PKS terbesar di negara ini dan ia sering berhadapan cabaran untuk mendapatkan pembiayaan bagi mengembang dan memajukan perniagaan.

"Dengan kemunculan platform pembiayaan rakan ke rakan, peluang yang dulunya tidak wujud kini boleh didapati. Bagaimanapun, terdapat jurang antara mereka yang memerlukan dan golongan yang boleh memenuhi keperluan ini.

"Kami berasa bangga kerana dapat memainkan peranan untuk merapatkan jurang menerusi pakatan ini dengan Peoplender," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Selepas OCBC menyampaikan maklumat PKS kepada Peoplender, PKS berkenaan akan dibimbing pasukan dari Peoplender mengenai proses permohonan yang perlu dilakukan sepenuhnya dalam talian.

Dengan kemudahan ini, PKS di seluruh negara berpeluang meraih dana menerusi platform alternatif baharu pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja dan meliputi hampir sebarang peranti.

Sejak dilancarkan pada Julai 2017, Fundaztic telah mengagihkan dana berjumlah hampir RM15 juta kepada lebih daripada 170 PKS dengan lebih separuh merupakan perniagaan yang telah beroperasi selama tiga tahun.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Peoplender, Kristine Ng berkata platform pembiayaan dana alternatif ini adalah sebahagian daripada satu industri serba baharu, dengan Fundaztic sendiri baru menceburi pasaran ini tidak sampai setahun.

"Ini mengehadkan keupayaan kami untuk menghulur tangan kepada semua PKS berdaya maju dan sebab itulah kerjasama dengan OCBC Bank menandakan langkah yang positif kerana bank berkenaan mempunyai capaian yang lebih luas dari segi rangkaian dan kakitangan.

"Usaha sama ini saling menguntungkan untuk meningkatkan capaian pembiayaan bagi PKS dan mengukuhkan ekosistem pembiayaan demi merangsang ekonomi," katanya.

"Pelabur Fundaztic boleh mendapatkan pulangan pelaburan antara 13 peratus hingga 23 peratus setahun bergantung kepada gred risiko PKS yang dilaburkan.

"Platform ini sentiasa memberi penekanan dalam mempelbagaikan pelaburan meliputi seberapa banyak Nota Pelaburan yang mungkin.

"Menerusi kerjasama ini, Fundaztic berharap untuk menghasilkan lebih banyak Nota setiap minggu, lantas membuka pilihan lebih luas untuk pelabur mengamalkan prinsip mempelbagaikan pelaburan," tambahnya lagi.

Berita Harian X