Isnin, 25 Jun 2018 | 2:56pm

Serba Dinamik raih kontrak RM465.1 juta

KUALA LUMPUR: Kumpulan perkhidmatan tenaga, Serba Dinamik Holdings Bhd (Serba Dinamik), melalui anak syarikatnya Serba Dinamik Sdn Bhd (SDSB) dan PT Serba Dinamik Indonesia memperoleh kontrak dan operasi kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC) bernilai RM465.1 juta.

Pengarah Urusan dan Pengarah Eksekutif Serba Dinamik, Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah, berkata SDSB memperoleh tujuh kontrak operasi dan penyenggaraan (O&M) dan satu kontrak EPCC manakala PT Serba Dinamik memperoleh tiga kontrak O&M dan dua kontrak EPCC.

Abdul Karim berkata, kontrak baharu itu akan menyumbang ke arah meningkatkan pendapatan jangka panjang kumpulan.

"Kami juga berjaya memasuki Kazakhstan menerusi kontrak kerja pertama kumpulan di sana, menguatkan kedudukan syarikat di Asia Barat.

"Serba Dinamik optimis dan yakin akan ada lebih banyak peluang untuk memperbesarkan kehadiran kami dalam pasaran serantau," katanya dalam satu kenyataan.

Abdul Karim berkata, kontrak O&M yang diperoleh SDSB adalah dari Agility Energy FZE dari Emiriah Arab Bersatu (UAE); Regno International Trading and Services WLL (Bahrain); Petronas Chemicals Methanol Sdn Bhd (PCMSB); Petronas Floating LNG 1 (L) Ltd; Hadid Engineering (M) Sdn Bhd; Petronas Dagangan Bhd (PDB) dan Petronas Carigali Sdn Bhd manakala kontrak EPCC dari Kinta Switchgear Sdn Bhd.

Bagi PT Serba Dinamik pula katanya, tiga kontrak O&M diperoleh dari PT Badak NGL dan Trakindo Balikpapan manakala dua kontrak EPCC dari Pertamina Balikpapan Hospital dan PT Waskita Karya (Persero) Tbk.

38 dibaca
Berita Harian X